UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Perlis, 21 Mac – Pembabitan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama UUM dalam pendidikan serta kesedaran alam sekitar menjadi satu inisiatif untuk mempromosi  tanggungjawab dalam melindungi alam sekitar.

Penolong Pengarah JAS Perlis, Nur Juliana Jaafor berkata, JAS meningkatkan pemantauan dan aktiviti rondaan ke kawasan yang berpotensi bagi mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka susulan cuaca panas dan kering.

JAS mengesan dan menyiasat kes pembakaran terbuka melalui rondaan operasi mencegah pembakaran terbuka yang dijalankan secara harian serta bertindak mengikut aduan yang diterima melalui pelbagai saluran.

Ujarnya, jenis tanah di Perlis ialah tanah gambut yang tidak akan terbakar sendiri jika tiada punca api.

“Kebiasaannya, punca kebakaran boleh disebabkan oleh pembuangan puntung rokok, pembakaran bahan-bahan e-waste seperti barangan elektrik pembakaran jerami serta sampah kering tanpa pengawasan.

“Tindakan ini boleh memudaratkan kesihatan seperti sesak nafas dan masalah kulit manakala pencemaran udara boleh mengakibatkan jerebu, kemusnahan tanaman, kawasan dan harta benda.

“Sekiranya ternampak kawasan yang terbakar tanpa pengawasan, segera hubungi pihak bomba untuk tindakan lanjut.

“Para peserta juga boleh menyertai program pelupusan bahan e-waste yang dijalankan bersama pihak Key Master Enterprise, Perlis,” ujarnya ketika Program Keprihatinan SLCP: Menyantuni Komuniti Madani Kampung Padang Jamil, Perlis, baru-baru ini.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Prof. Dr. Shukri Ahmad menyifatkan program menyantuni masyarakat dan berkongsi rezeki merupakan satu acara yang tidak asing lagi bagi SLCP.

Beliau teruja berpeluang turun padang mendekati penduduk bagi menyampaikan sumbangan makanan kepada komuniti setempat yang sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

“Menariknya sesi pemindahan ilmu menerusi taklimat JAS mengenai pembakaran terbuka yang menyuntik kesedaran tentang pentingnya memelihara kebersihan alam semulajadi serta jalinan kerjasama agensi luar bersama penduduk kampung,” katanya.

Manakala Pengarah program yang juga guru bahasa, Hafizani Hamid berkata, program anjuran Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) UUM dengan kerjasama JAS Negeri Perlis diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar dan implikasi positif daripada aktiviti kutip sampah.

Seramai 80 peserta terdiri daripada staf SLCP, JAS dan penduduk Komuniti Madani Kg Padang Jamil terlibat menjayakan program ini.

“Kampung Padang Jamil yang berdekatan dengan Pulau Batu Layang juga menjadi tarikan kepada ikan lumba-lumba spesis Pacific Humpback justeru, kawasan ini secara tidak langsung menjadi kawasan tumpuan pelancong.

“Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan pantai di Kuala Perlis mempromosikan budaya ‘kutip sampah sambil beriadah’ dalam komuniti,” ujarnya.

Pengerusi Komuniti Madani, Kamarudin Malik sangat berbesar hati menerima kehadiran staf SLCP UUM dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis yang serta berharap lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *