UUM x CelcomDigi bakal perkasa pelajar melalui Program School of Hard Knocks
Gambar CUIC
SINTOK, 3 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM), melalui Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), telah mengadakan perbincangan strategik bersama pihak CelcomDigi bagi memperluas kolaborasi dalam program pembangunan pelajar berimpak tinggi, School of Hard Knocks (SoHK). Inisiatif ini bertujuan untuk membentuk modal insan yang berkualiti tinggi, cekap, dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan sebenar.
Sesi perbincangan telah diketuai oleh Timbalan Pengarah Bahagian Jaringan Industri CUIC, Prof. Madya Dr. Normalisa Md Isa, dan Penyelaras SoHK, Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Adilah Azhari, manakala CelcomDigi diwakili oleh Ketua Change Management & Employer Brand, Stephanie Leong Yun Mun.
Dr. Adilah berkata, SoHK merupakan sebuah program pembangunan insaniah yang memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman industri sebenar yang diterajui oleh PPKKG berdasarkan konsep Padawan UUM, di mana pelajar akan menjalani penempatan industri selama satu hingga dua semester.
Menurutnya, pelaksanaan program ini melibatkan sesi interaktif, bengkel pembangunan diri, serta latihan secara langsung di organisasi terpilih.
Melalui penyertaan dalam SoHK, pelajar berpeluang membangunkan kemahiran insaniah penting seperti daya tahan, komunikasi berkesan, pemikiran kritis, dan keupayaan menyesuaikan diri dalam suasana kerja sebenar.
Dalam sesi perbincangan baru-baru ini, CelcomDigi telah menyatakan komitmen mereka untuk menyokong program ini dengan menawarkan peluang latihan industri serta pembelajaran maya melalui platform Metaversity.
Langkah ini dilihat sebagai usaha memperkasakan lagi aspek kebolehpasaran graduan UUM selaras dengan keperluan industri semasa.
Gabungan kepakaran UUM dan sumber sokongan strategik daripada CelcomDigi diyakini akan menjadikan SoHK sebagai sebuah platform unggul dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, malah benar-benar ‘siap kerja’.
Kolaborasi ini bakal dimeterai secara rasmi melalui memorandum persefahaman (MoU), menandakan komitmen tinggi kedua-dua pihak dalam membentuk graduan berdaya saing dan relevan dengan keperluan Revolusi Industri 4.0. – Siti Nazirah Jaya