Campus

Ceramah Umum JKTBM tekan kepentingan bahasa Melayu terus dijunjung

Gambar Dewan Bahasa dan Pustaka

SINTOK, 8 Oktober 2025: Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (UBSBM), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen UUM.

Ceramah bertajuk “Menjulang Bahasa di Dunia Pintar: Kecerdasan Buatan dan Identiti Kebangsaan” telah disampaikan oleh Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah yang merupakan Ahli JKTBM bagi sesi 2024/2026.

Dalam ceramahnya, beliau menegaskan bahawa pentingnya bahasa Melayu terus dijunjung sebagai bahasa ilmu, bahasa kebangsaan dan bahasa tamadun, khususnya dalam mendepani arus kemajuan teknologi serta perkembangan kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, kemajuan teknologi tidak seharusnya menjadi ancaman terhadap nilai bahasa dan budaya, sebaliknya perlu dijadikan wadah memperkukuh identiti nasional dalam dunia digital pintar.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka, Md Johari Hasan, yang mewakili Ketua Pengarah DBP, serta Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie.

Program yang penuh ilmiah ini turut dihadiri oleh pensyarah, pelajar, serta warga universiti yang prihatin terhadap peranan bahasa Melayu dalam mendepani cabaran era digital.

Penganjuran ceramah ini diharap dapat menyemai semangat dan kesedaran untuk terus menjulang martabat bahasa Melayu sebagai bahasa yang relevan, dinamik dan berdaya saing dalam dunia pintar masa kini. – Muqriz Adam Mahadzir

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button