Lawatan kerja UMN Al-Washliyah buka ruang kerjasama strategik bersama IPDM, SBM dan SoE
Berita dan gambar Mohammad Taufiq Othman
SINTOK, 5 Ogos 2026: Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) baru-baru ini telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Universitas Muslim Nusantara (UMN) Al- Washliyah, Indonesia bertempat di IPDM.

Pengarah IPDM, Prof. Madya Dr. Mohd Khairudin Kasiran berkata, sesi perbincangan strategik ini dianjurkan bukan sahaja bagi mengukuhkan hubungan ikatan serantau bersama IPDM, malah turut memfokuskan kepada potensi kerjasama akademik dan penyelidikan di peringkat universiti secara menyeluruh.
Menurutnya, bagi membolehkan potensi kolaborasi diterokai secara holistik, perbincangan tersebut turut dihadiri oleh pihak pengurusan dan wakil daripada Pusat Pengajian Pengurusan (SBM) serta Pusat Pengajian Pendidikan (SoE), selain barisan pengurusan IPDM.
Katanya, kehadiran wakil pusat-pusat pengajian ini memperluaskan lagi skop perbincangan merentasi pelbagai disiplin ilmu.
Antara fokus utama perbincangan merangkumi perancangan kerjasama dalam bidang penyelidikan bersama, penganjuran seminar dan persidangan akademik antarabangsa, pertukaran kepakaran pensyarah dan pelajar, serta penganjuran program pembangunan kepimpinan dan pendidikan.

Penglibatan SBM dan SoE membuka peluang bagi pelaksanaan projek akademik berimpak tinggi yang dapat memberikan manfaat terus kepada para akademik dan mahasiswa kedua-dua buah universiti.
Pertemuan ini menjadi penanda aras penting dalam usaha memperkasa jaringan antarabangsa universiti, sekali gus membina sinergi mampan antara IPDM, SBM, dan SOE bersama UMN Al-Washliyah.
Kedua-dua pihak menyatakan komitmen tinggi untuk memodelkan inisiatif rasmi yang bakal direalisasikan melalui perjanjian kerjasama seperti memorandum persefahaman dan memorandum perjanjian pada masa akan datang.



