Agama

Wacana Keluarga Madani subur sifat kasih dan hikmah

SINTOK: Lebih 170 peserta telah menghadiri Wacana Keluarga Madani yang dianjurkan oleh Pusat Islam dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Kedah-Perlis di Dewan Seminar Pusat Islam pada 27 Ogos lalu.

Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie berkata, sesi yang disampaikan oleh dua tokoh ilmuwan Islam antarabangsa dan tempatan ini bertujuan untuk menyemai kefahaman mengenai nilai-nilai Madani yang perlu disuburkan dalam konteks sesebuah institusi keluarga.

Mudir Pondok Melele Kedah, Syeikh Dr. Mohd Jamil Tajuddin Al-Jarumi telah menekankan pentingnya sifat kasih dalam hubungan erat kekeluargaan.

Mengulas lanjut, beliau menghuraikan sepotong hadith junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

“Orang yang mengasihi nescaya akan dikasihi oleh Allah Yang Maha Pengasih. Kasihilah siapa yang di bumi, nescaya kalian akan dikasihi oleh yang di langit.” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan at-Tirmizi).

Pesanan yang sama turut disentuh oleh panel kedua, Habib Ahmad Abdurrahman Al-Maqdi Al-Azhari. Pengalaman dan kepakaran beliau menganggotai Majlis Fatwa Mesir dimanfaatkan dalam syarahannya, ‘Menggali Nilai Kekeluargaan’ dalam Surah Luqman.

Kupasan beliau dari dialog Luqman Al-Hakim yang dirakam di dalam surah tersebut menekankan nilai hikmah dalam hubungan antara seorang bapa dan anak. Nilai tersebut boleh diperkukuh melalui percakapan, tindakan dan penetapan keputusan dalam keluarga.

Sesi wacana tersebut disertai oleh warga UUM Property Sdn. Bhd. (UPSB), wakil komuniti masjid sekitar Changlun, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan pensyarah serta pelajar antarabangsa UUM yang berasal dari Timur Tengah.

Rata-rata peserta menyatakan kegembiraan mereka dengan penyertaan dalam wacana ini.

Peserta, Rokiah Saad berkata, ilmu yang diperoleh sungguh bermanfaat dan berkesan kepadanya, khususnya saudara baru berkaitan Surah Maryam dan Surah Luqman yang banyak pengajaran dan iktibar yang perlu dicontohi.

“Harapan kami program bersama alim ulama seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan.

“Mudah-mudahan kerjasama penganjuran program ini dapat memberi manfaat kepada seluruh peserta,” katanya. – Muhammad Kamil Yazid

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button