AutoCBOS raih pingat emas
UUM ONLINE: ‘TVET automotive case-based workplace simulation (AutoCBOS) merangkul pingat emas pada International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition (IPITEx 2023), di Thailand, baru-baru ini.
Kejayaan berganda apabila memperoleh dua lagi anugerah khas dari World Invention Intellectual Property Associations (Taiwan) dan Korea Invention Promotion Associations (Korea Selatan).
AutoCBOS, produk yang dihasilkan melalui geran Kecemerlangan Konsortium Penyelidikan (KKP) disertai Prof. Madya Dr. Nurulwahida Azid @ Aziz, Dr. Abdul Hamid Busthami Nur dan Prof. Madya Dr. Ruzlan Md. Ali.
Ketua Penyelidik, Nurulwahida berkata, pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan, UUM telah mencipta produk inovasi pengajaran bagi bidang Technical Vocational Education Training (TVET) melalui aplikasi interaktif ‘TVET automotive case-based workplace simulation’ (AutoCBOS).
Jelasnya, AutoCBOS berperanan membantu proses pembelajaran amali dan praktikal pelajar kolej vokasional bidang Teknologi Automatif bagi meningkatkan ‘soft skills’ selari dengan kehendak industri automotif.
“Sebenarnya Covid-19 banyak mengajar kita bahawa pendidikan yang melibatkan praktikal juga memerlukan alat pembelajaran yang berimpak bagi kelangsungan pembelajaran TVET di kolej vokasional,” katanya.
Menurutnya, acara yang dianjurkan oleh National Research Council of Thailand (NRCT) Ministry of Higher Education, Science, Research and Innovation dihadiri 24 negara yang mempamerkan sebanyak 469 produk inovasi dalam pelbagai bidang.
“Semestinya perasaan amat teruja di atas kemenangan ini, selain dapat membantu pelajar kolej vokasional dan bidang TVET menguasai kemahiran dan pengetahuan melalui ‘automotive industrial case-based simulation’,” luahnya yang juga ahli Malaysian Invention and Design Society (MINDS).
Menurutnya, ‘Industrial case-based simulation’ ini merupakan sebahagian hasil penyelidikan ‘Digital Curriculum: TVET Future Learning Consortium’.
AutoCBOS dibina berdasarkan ‘backward design model’ bagi membangunkan digital kurikulum berasaskan tiga kursus automotif yang selari dengan hasil pembelajaran kursus.
Terdapat dua ‘industrial automotive cases’ secara digital bagi setiap kursus teknologi automotive. Hasil pandangan pembina kurikulum, pelaksana kurikulum dan industri automotif diambil kira berdasarkan data kajian yang ditemui melalui kajian ini.
Keseluruhannya pandangan dari 39 industri automotif seluruh Malaysia menyokong usaha penyelidik UUM dalam membangunkan AutoCBOS yang berperanan menyuntik kemahiran berfikir (analitikal, kreatif dan praktikal) dan kecenderungan pembelajaran (heutagogi, paragogi dan sibergogi) melalui penyelesaian masalah automotif.
Dengan kejayaan ini beliau berhasrat menghasilkan lebih banyak ‘digital curriculum’ pada masa depan bagi merangsang pemikiran kritikal dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam kalangan ‘young skills workers’ dalam bidang TVET yang bermatlamat untuk melahirkan graduan yang mampu meningkatkan prestasi lebih cemerlang dalam bidang teknologi automotif.