TNC A&A ikuti perkembangan pelajar tajaan Kemenag
SINTOK – Kerjasama yang terjalin antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Kementerian Agama Republik Indonesia (Kemenag) merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan akademik di peringkat antarabangsa serta hubungan dua hala negara serumpun.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan terus diperkasakan melalui program kerjasama akademik antara UUM dan Kemenag ini.
“Kemenag bertanggungjawab mengawal selia lebih 29 Universitas Islam Negeri (UIN) di seluruh Indonesia. Pelajar berpeluang untuk menyambung pengajian sarjana di UUM dan UIN terlibat.
“Setiap pelajar akan menamatkan pengajian di UUM pada tahun pertama, diikuti satu tahun seterusnya di UIN, dan layak menerima dua ijazah sarjana. Ini memberikan peluang unik untuk memperoleh pengalaman akademik yang holistik di dua institusi pengajian tinggi,” ujarnya.
Menurutnya, kerjasama akademik melibatkan lima UIN, iaitu UIN Ar-Raniry Banda Aceh, UIN Sunan Gunung Djati Bandung, UIN Mataram, UIN Raden Fatah Palembang, dan UIN Sunan Ampel Surabaya. Kesemua institusi ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan UUM.
“Anda merupakan kohort pertama yang melibatkan 42 pelajar yang mengikuti program dalam pelbagai bidang seperti Pengurusan Pendidikan, Pendidikan Islam, Komunikasi Kepengurusan, Kewartawanan Multimedia, serta Kewangan dan Perbankan Islam.
“Program ini juga memberi peluang kepada kedua-dua institusi untuk menjalankan penyelidikan bersama melalui tesis pelajar yang akan diselia secara bersama oleh pensyarah UUM dan UIN.
“Kami di UUM sentiasa komited dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang berkualiti dan holistik,” ucapnya pada Sesi Ramah Mesra Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)Bersama Pelajar Tajaan Kemenag.
Sementara itu, Pengarah Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar berkata, majlis itu bertujuan untuk bertemu dengan para pelajar dan menilai perkembangan sepanjang berada hampir lima bulan di sini.
“Usaha ini sebagai medium komunikasi yang memberi peluang untuk dialog terbuka di mana pihak pentadbiran dan pelajar, boleh berkomunikasi dengan lebih baik, memahami keperluan dan harapan satu sama lain.
“Kami komited untuk memastikan bahawa program kerjasama akademik antara UUM dan Kemenag ini tidak hanya sekadar dokumen, tetapi akan dihidupkan dan diperkasakan melalui sokongan menyeluruh yang diberikan kepada para pelajar,” katanya.