RM70,500 bantu siswa asnaf UUM jadi usahawan francais
SINTOK – RHB Islamic Bank memperuntukkan sebanyak RM70,500 kepada pelajar Universiti Utara Malaysia dalam kategori asnaf untuk dilatih menjadi usahawan francais.
Untuk peringkat awalnya, pelajar terlibat dibahagikan kepada tiga kumpulan di mana 2 kumpulan menjalankan perniagaan Monti Keopi dan satu kumpulan lagi menjalankan perniagaan cendol pandan.
UUM menjadi universiti kedua di negara ini dibantu oleh RHB Islamic Bank dengan kerjasama Pernas yang membantu menyediakan program latihan dan bimbingan berterusan oleh franchisor.
Ketua Pegawai Kewangan RHB Islamic Bank, Khairul Hakeem Mohamed Sahari menyerahkan dana berjumlah RM70,500 kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Majlis penyerahan tajaan perniagaan oleh RHB Islamic Bank Di Bawah Program B40 Empowerment Strategy-Be Your Own Boss (“BEST-BYOB”) hasil kerjasama strategik antara bank berkenaan di bawah inisiatif i-tekad dan Pernas Best-BYOB berlangsung di Varsity Mall, baru-baru ini.
Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) mewakili UUM untuk mencari pelajar dan membimbing pelajar menjadi usahawan franchaisor. Progam ini juga mendapat kerjasama daripada rakan-rakan pengetua inasis UUM iaitu Inasis TNB, Inasis YAB dan Inasis BSN.
Kesemua perniagaan peserta ini akan ditempatkan di inasis tersebut dan peserta akan mula menjalankan perniagaan mereka pada awal bulan Oktober nanti.
Dalam program ini peserta akan memulakan perniagaan berdasarkan kepada pakej yang dipilih dengan bimbingan dan pemantauan berterusan selama enam bulan dengan diajar pelbagai ilmu mengurus, cara menarik pelanggan, membina rangkaian, membantu jualan serta suntikan modal.