Bina jaringan strategik
28 Oktober – Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan kunjungan hormat ke Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) sebagai langkah proaktif dalam memperkukuhkan hubungan dan membina jaringan kerjasama strategik di antara kedua-dua institusi.
Pengarah CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan berkata, pertemuan itu bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang keusahawanan, ekonomi Islam, dan pembangunan koperasi.
“Perbincangan juga memberi tumpuan kepada aspek pengembangan program keusahawanan sosial (SE) yang dapat memberikan manfaat bersama kepada masyarakat dan industri,” ujarnya, baru-baru ini.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneroka inisiatif yang akan mengukuhkan ekosistem keusahawanan Islam di Malaysia, di samping menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.
Antara projek CEDI yang menarik minat pihak YAPEIM adalah program keusahawanan sosial di Pulau Tuba, Langkawi dan projek baharu inkubator perniagaan kek dan pastri yang akan dijalankan pada awal November 2024.
YAPEIM menyatakan keyakinan bahawa kolaborasi ini akan membuka jalan kepada pelaksanaan program-program inovatif yang dapat membantu memperkasakan keusahawanan di kalangan belia, khususnya dalam bidang ekonomi Islam.
Kedua-dua institusi juga merancang untuk mengadakan lebih banyak pertemuan susulan bagi memuktamadkan perjanjian dan merangka pelan tindakan yang jelas untuk merealisasikan potensi kerjasama ini.
Usaha ini selari dengan komitmen CEDI dan YAPEIM untuk terus mempromosikan nilai-nilai Islam dalam bidang ekonomi dan keusahawanan serta menyokong agenda pembangunan negara melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan.