Business

INSKEN – UUM semarakkan pembangunan keusahawanan

SINTOK, 10 Disember 2024: Kunjungan Hormat Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Ke Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi platform untuk bertukar pandangan dan langkah penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara UUM sebagai institusi pendidikan dan INSKEN sebagai peneraju pembangunan keusahawanan negara.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pertemuan ini amat bermakna dalam usaha melestarikan usaha berterusan dalam bidang keusahawanan yang juga menjadi satu fokus pada UUM.

Ujarnya, UUM berhasrat melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global, inovatif, dan berciri keusahawanan, sejajar dengan aspirasi pembangunan negara.

“Graduan yang dilengkapi dengan nilai-nilai keusahawanan bukan sahaja mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi tetapi juga membawa perubahan positif kepada masyarakat.

“Dengan tumpuan kepada pengembangan ekosistem keusahawanan, usaha ini dapat membantu mencipta lebih ramai usahawan muda yang inovatif, berdaya tahan, dan mampu bersaing di peringkat global,” ucapnya di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, semalam.

Beliau yakin perbincangan ini akan membuka lembaran baharu dalam kerjasama yang bermanfaat untuk kedua-dua pihak serta masyarakat secara keseluruhannya.

Kunjungan ini membuka ruang untuk mendapatkan pandangan, cadangan, dan maklum balas daripada pihak INSKEN. Melalui dialog yang konstruktif dan kerjasama erat, kita mampu mencapai matlamat bersama untuk melahirkan generasi usahawan yang cemerlang dan menjadi pemacu ekonomi negara.

Beliau mengalu-alukan kehadiran delegasi INSKEN yang diketuai Pengerusi, Lembaga Pemegang Amanah, Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN); Mustaffa Kamil Ayub, bersama Pengerusi SBT Sdn. Bhd.; Datuk Subhi Dziyauddin dan Certified Business Coach, Mohd Azad Jasmi.

Sementara itu, Mustaffa Kamil Ayub berkata, pada umumnya INSKEN melatih 10,000 usahawan baharu setiap tahun dan jumlah ini akan meningkat.

“INSKEN melaksanakan pelbagai latihan dan bimbingan keusahawanan termasuk program jangka pendek. Kita memberi pengetahuan, ‘ice breaking’ dan ‘mind set’ untuk generasi muda dalam pembinaan keusahawanan.

“Usaha ini selari dengan Dasar pembangunan negara 2030 antara lain yang menekankan kewujudan masyarakat keusahawanan,” ujarnya.

Jelasnya, terdapat 66 agensi kerajaan yang menawarkan pembangunan keusahawanan dan  anak muda perlu didedahkan dengan perkara ini agar mendapat manfaat sekali gus menyemarakkan keusahawanan.

Beliau mengakui menggalas cabaran besar dalam meningkatkan keterlihatan INSKEN terutamanya dari aspek pembangunan anak muda dalam keusahawanan.

Justeru beliau meletakkan harapan tinggi agar kerjasama ini dapat memberi impak besar, bukan sahaja kepada pembangunan pelajar tetapi juga kepada pembangunan ekonomi negara secara keseluruhannya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button