Perkasakan kerjaya, masa depan pelajar menerusi keusahawanan
SINTOK, 12 Disember 2024: Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud menyeru pelajar supaya tidak terlalu bergantung kepada kerajaan untuk mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian kerana peluang yang amat terhad.
“Tidak ada yang membahagiakan pada seorang alumni yang dapat pulang ke alma mater serta memberi sumbangan yang signifikan. Kira-kira 28 tahun lalu saya tamat pengajian di UUM dalam bidang Pentadbiran Perniagaan.
“Waktu itu keadaan cukup berbeza kami boleh tersenyum menjawab peperiksaan kerana kerja sedang menanti malah doktrin pelajar ketika itu, bila keluar universiti mesti jadi pengurus atau ketua pegawai eksekutif.
“Namun suasana sekarang jauh berbeza dari 28 tahun dahulu. Seramai 247,000 graduan adakah peluang pekerjaan tersedia? Jawapannya tidak. 155,000 orang menduduki peperiksaan online untuk jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) namun yang diperlukan hanyalah 125 orang sahaja,” ujarnya.
Akuinya, pada zaman ini terlalu sukar untuk mendapatkan pekerjaan, atas kesedaran itu KUSKOP mengadakan siri jelajah ke kampus untuk menyampaikan amanat untuk menggalakkan pelajar menjadi boss (usahawan) sekali gus mewujudkan peluang perniagaan yang menyumbang kepada ekonomi negara.
Beliau menyeru peserta menggunakan peluang dengan sebaiknya semasa berada di kampus untuk mendapat ilmu pengetahuan dan yang penting membina kekuatan mental, fizikal serta jati diri.
“Ijazah hanya satu alat untuk berada di landasan tetapi untuk meneruskan perjalanan itu perlu kepada jati diri, kekuatan mental dan fizikal yang membolehkan kita mendaki tangga karier hingga sampai ke puncak.
“Sekadar memiliki ijazah belum tentu boleh sampai ke atas sana, jadi bermulalah walaupun dengan perniagaan kecil-kecilan, KUSKOP boleh membimbing untuk menjadi tokoh korporat,” ucapnya ketika merasmikan Seminar Keusahawanan Mahasiswa Zon Utara – Jom Jumpa Protege di Auditorium SOIS, UUM, semalam.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, seminar yang disertai kira-kira 400 pelajar dari lapan IPT ini merupakan inisiatif yang sangat baik dalam usaha memperkasa dan memartabatkan bidang keusahawanan kepada mahasiswa.
“Seminar ini bukan sahaja bertujuan untuk berkongsi pengetahuan peserta, tetapi juga untuk memberi inspirasi dan mendorong mahasiswa agar berani menceburi bidang keusahawanan.
“Keusahawanan bukan sekadar tentang menjana keuntungan, tetapi ia adalah tentang mencipta nilai, merebut peluang, menyelesaikan masalah dan memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.
Menurutnya, UUM melalui Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) aktif melaksanakan pelbagai program keusahawanan antaranya Program Siswaniaga, Program B40 Empowerment Strategy – Be Your Own Boss” (BESTBYOB), Program Unipreneur 4.0 dan Program 1 Inasis 1 Kiosk yang mendapat kerjasama dan sokongan yang kuat daripada alumni UUM.
Melalui program siswaniaga, untuk tempoh sehingga September 2024, seramai 2,768 pelajar UUM telah melibatkan diri dalam aktiviti keusahawanan samada dijalankan secara dalam talian atau bersemuka. Daripada jumlah tersebut seramai 26 pelajar UUM telah mencapai jualan melebihi RM50,000 setahun.
Bagi program Be Your Own Boss (BESTBYOB), RHB Islamik Bank telah menyumbang sebanyak RM70,500 dan dua produk francais telah dilaksanakan iaitu Produk Pandan Cendol dan Produk Monti Keopi yang dijalankan oleh pelajar asnaf UUM.
“Alhamdulillah Kiosk Pandan Cendol ini telah menjadi viral dan mendapat sambutan yang hebat daripada warga kampus semua dan mencapai jualan sebanyak RM30,000 pada bulan pertama beroperasi,” ujarnya.
Bagi Program Bank Rakyat UNIpreneur 4.0, sebanyak RM45,000 telah disumbangkan oleh Bank Rakyat kepada pelajar asnaf UUM yang memperolehi dana sebanyak RM3,000 untuk kegunaan aktiviti perniagaan mereka.
Bagi merancakkan lagi aktiviti keusahawanan di kampus UUM, program 1 inasis 1 kiosk sebanyak 10 buah kiosk Ayam Five Star Chicken telah disumbangkan oleh Alumni UUM dan ditempatkan di 10 buah inasis. Selain itu, terdapat tiga buah Kiosk Thai Brew yang menjual produk Thailand di UUM.
Beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada KUSKOP, PROTEGE dan agensi pelaksana Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), UUM di atas penganjuran seminar untuk siri jelajah terakhir di UUM pada tahun ini dan berharap agar lebih banyak lagi program keusahawanan dijalankan pada tahun hadapan melalui kerjasama yang strategik ini.