Campus
Hong Leong Islamic Bank laksana program celik muamalat kepada 200 pelajar UUM
Berita dan gambar oleh Mohd Farhan Ismail
DAMANSARA, 1 Disember 2025: Hong Leong Islamic Bank (HLISB) mengukuhkan komitmennya dalam pembangunan bakat muda apabila memilih Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai lokasi pelaksanaan inisiatif HLB@Campus.
Pengumuman tersebut dibuat sempena Majlis Sambutan 20 Tahun HLISB yang berlangsung di Sofitel Hotel, Damansara.

Dalam majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamik Bank, Puan Dafinah Ahmed Hilmi, menekankan kepentingan pendidikan kewangan Islam dan peranan institusi pengajian tinggi dalam melahirkan modal insan berpengetahuan Syariah dan berkeupayaan tinggi.
Sebagai rakan strategik pendidikan, HLISB turut menaja Anugerah Emas HLISB kepada pelajar terbaik Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam (MIFB) di Majlis Konvokesyen UUM selama 10 tahun berturut-turut, menzahirkan sokongan berterusan bank tersebut terhadap kecemerlangan akademik.

Selain itu, HLISB juga menjadi penaja International Symposium on Islamic Social Finance, anjuran Sustainable Takaful Fund (STF) IBS, sekali gus memperkukuh agenda penyelidikan dan pembangunan dalam bidang kewangan Islam.
Dalam komitmen terbaharu, HLISB bakal melaksanakan Program Celik Muamalat di UUM yang bakal memanfaatkan hampir 200 pelajar. Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar terhadap konsep dan aplikasi Syariah dalam industri kewangan kontemporari.
Majlis tersebut turut menyaksikan pertukaran cenderamata dan pemeteraian hasrat kerjasama jangka panjang antara UUM dan HLISB. Prof. Ahmad Martadha Mohamed, yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, turut hadir bagi mewakili universiti dalam penyempurnaan sesi tersebut.
Turut hadir ialah Prof. Dr. Selamah Maamor, Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam; Dr. Fikriyah Abdullah, Pengarah Pusat Pembangunan dan Kebolehpasaran Graduan; serta Encik Mohd Farhan Ismail, Pengurus Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar.



