112 pelajar SMK Convent perkukuh nilai kepimpinan di Kem Kepimpinan
Gambar STHEM
SINTOK, 24 Jun 2025: Seramai 112 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Alor Setar telah menyertai “Elevate The Excellence: The Rising of Young Leaders Camp” iaitu sebuah program Kem Kepimpinan selama tiga hari dua malam yang berlangsung dari 18 hingga 20 Jun lalu di Inapan Siswa (Inasis) Bank Rakyat, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program ini merupakan inisiatif kolaboratif antara Event Management Training, Research, Activities and Consultancy (EMTRAC), Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) dan SMK Convent.
Kem ini menyasarkan pelajar yang memegang peranan kepimpinan di sekolah seperti pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), ahli jawatankuasa koperasi (Koperator), serta Briged Bestari.
Objektif utama program adalah untuk memperkukuh nilai-nilai kepimpinan, mempertingkat kemahiran pengurusan diri dan masa, serta membina jati diri pelajar sebagai pemimpin muda yang berdaya tahan dan berwawasan.
Sepanjang program, peserta telah didedahkan kepada pelbagai modul pembangunan kendiri dan kepimpinan termasuk ceramah motivasi, bengkel pengurusan masa, sesi penyelesaian masalah, dan simulasi organisasi. Aktiviti luar dan dalam yang berasaskan cabaran serta kerjasama berpasukan turut dijalankan bagi meningkatkan semangat setiakawan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.
Menambahkan impak kepada pelaksanaan program, seramai tujuh pensyarah UUM telah dilantik sebagai jurulatih dan penceramah utama, iaitu Dr. Muhammad Fauzi Mokhtar, Dr. Lina Munirah Kamarudin, Mohamad Khairi Alwi, Dr. Hasan Mohamed Zakaria, Suryati Abd. Shukor, Dr. Eshaby Mustapha dan Dr. Norwani Mohd Nazari.
Mereka memainkan peranan penting dalam menyampaikan input akademik serta membimbing peserta sepanjang program. Turut hadir memberikan sokongan ialah sebelas orang guru pengiring dari SMK Convent Alor Setar, manakala pelaksanaan teknikal dan fasilitasi turut dibantu oleh mahasiswa UUM daripada Kelab Event Management Student Society (EMSS), Tourism Management Student Association (TOMAS), serta pelajar kursus Sport Event Management.
Penolong Kanan SMK Convent Alor Setar, Wan Azimah Wan Mahmud berkata, pihak sekolah amat menghargai kerjasama erat yang terjalin antara institusi pengajian tinggi dan sekolah dalam menjayakan program ini.
“Kami berterima kasih atas penganjuran yang sangat tersusun dan layanan mesra daripada pensyarah serta pelajar UUM.
“Komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan amat membanggakan, dan kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan dalam program pembangunan pelajar yang lain pada masa hadapan,” katanya.
Kem Kepimpinan ini juga mendapat perhatian daripada Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah (Pengurusan Sekolah), Abdul Rahim Mat, yang menyampaikan penghargaan dan ucapan tahniah kepada pihak EMTRAC STHEM atas kejayaan menganjurkan program yang signifikan ini.
Penganjuran ini jelas mencerminkan sinergi positif antara institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah dalam memperkasa pendidikan berimpak tinggi. Ia bukan sahaja memperkukuh jaringan komuniti, tetapi juga mengangkat peranan UUM sebagai universiti peneraju dalam pembangunan modal insan dan kepimpinan pelajar sekolah menengah ke arah melahirkan generasi muda yang berkarisma dan berdaya saing. – Dr. Norwani Mohd Nazari