Campus

Mini bazar galak pelajar berniaga

SINTOK: Mini Bazar Tradewinds menjadi medan terbaik bagi mengasah bakat dan potensi keusahawanan di kalangan pelajar serta memberi pengalaman berniaga bagi mencari duit poket di musim perayaan ini.

Pengarah program Bazar Mini Tradewinds, Afiqah Said berkata, Biro Keusahawanan & Kepimpinan JKPSRS Inasis Tradewinds menganjurkan jualan selama 7 hari dengan menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa dan moreh melibatkan 15 peniaga bazar.

“Kami menyasarkan peluang perniagaan kepada mahasiswa khususnya pelajar Inasis Tradewinds bagi membina semangat keusahawanan dalam diri pelajar selain membentuk keperibadian usahawan dalam diri mereka.

“Alhamdulillah, gerai jualan mereka mendapat sambutan hangat di kalangan pelajar dan mendorong mereka untuk terus berkecimpung dalam perniagaan lagi selepas ini,” ujarnya.

Pelbagai juadah yang dijual oleh mahasiswa sesuai dengan citarasa anak muda masa kini antaranya roti john, murtabak, bonboloni, sirap bandung, nasi ayam gepuk dan aneka pilihan air balang yang menyelarakan dan membangkitkan selera.  

Menurut pengetua Inasis Tradewinds, Dr. Asma Mat berkata, objektif program ini ialah untuk melatih pelajar daripada aspek keusahawanan dan membina jaringan bersama para peniaga luar yang lebih berpengalaman. 

Jelasnya, program ini membuka ruang dan peluang serta pendedahan aktiviti keusahawanan khususnya kepada usahawan siswa membuka ruang kepada pelajar memperkenalkan produk masing-masing sekali gus menonjolkan bakat dan kemahiran keusahawanan dalam diri.  

Sementara itu, peserta, Muhammad Shafiq Shafiee berkata, pembangunan keusahawanan di peringkat institut pengajian tinggi perlu sentiasa dirancakkan bagi mengubah minda pelajar daripada pencari kerja kepada pencipta kerja.

Beliau teruja menyertai aktiviti keusahawanan dan menimba pengalaman baharu yang amat berharga.

Muhammad Shafiq bersama rakan kongsi, Sharmiela Muktar menggabungkan duit modal dan tenaga untuk berniaga murtabak dan roti john di Inasis Tradewinds yang beroperasi dari jam 4 petang sehingga 11 malam.    

“Roti john dan murtabak ini diambil kira daripada keperluan dan citarasa pelajar UUM. Inisiatif ini dibuat bagi meringankan beban serta memudahkan pelajar daripada keluar ke Bazar Ramadan Changlun yang jauh demi mencari menu menarik untuk berbuka jadi mereka tidak perlu lagi keluar dari UUM kerana semuanya sudah ada di sini.

“Kami masak sendiri, walaupun ini kali pertama kami menjual, kami mendapat untung besar melebihi daripada apa yang dijangkakan kerana jualan habis selepas 1 jam dibuka.

“Memang sangat seronok apabila melihat pengunjung datang beramai-ramai membeli makanan yang dijual di samping mendapat banyak pengalaman yang membuka minda kami semua,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button