184 pelajar baharu terima bantuan kebajikan UUM
Gambar Jabatan Hal Ehwal Pelajar
SINTOK, 19 November 2024: Seramai 184 pelajar baharu Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima bantuan kebajikan pelajar yang berjumlah RM92,000 di bawah Program Iqra’ Tabung Haji, baru-baru ini.
Bantuan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed pada Majlis Temu Sua dan Penyampaian Bantuan Kebajikan kepada Pelajar Baharu UUM di Pusat Konvensyen UUM.
Dr. Ahmad Martadha mengucapkan terima kasih kepada Tabung Haji atas sumbangan yang diberikan kepada pelajar dan berharap program bantuan ini agar dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi membantu kebajikan pelajar.
Menurutnya, setiap pelajar berkenaan menerima RM500 seorang yang akan digunakan bagi menampung kos kehidupan mereka di universiti.
“Sumbangan tunai ini begitu bermakna sekali kepada pelajar-pelajar yang memerlukan kerana ia dapat membantu meringankan urusan sara diri pelajar kita.
“Kita amat menghargai sumbangan daripada Tabung Haji ini dan berharap pelajar dapat manfaatkan sebaiknya sumbangan tersebut,” katanya.
Terdahulu, pelajar telah mengikuti Bicara Motivasi dan Pembangunan Diri yang dipimpin oleh Pegawai Psikologi UUM, Muhammad Noor Fitri Ahmad.
Turut hadir ialahTimbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin dan pengetua Inapan Siswa. – Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD)