Campus

Ceramah Pengurusan Risiko Di Tempat kerja bincang pelbagai aspek keselamatan

UUM ONLINE: Aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan merupakan salah satu nadi penting dalam modus operandi sesebuah institusi awam mahupun persendirian. Bertitik tolak daripada itu, Jawatankuasa Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan SLCP telah mengambil tanggungjawab untuk menganjurkan satu ceramah bertajuk “Pengurusan Risiko di Tempat Kerja” di Dewan Kuliah DKG 3/1, baru-baru ini.

Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Pakar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Rafee Baharuddin dari Universiti Putra Malaysia.

Dr. Mohd Rafee yang dikenali dengan kepakarannya dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan membincangkan pelbagai aspek penting mengenai keselamatan di tempat kerja, termasuk penilaian risiko, pengurusan kecemasan, serta cara-cara untuk mencegah kemalangan dan penyakit berkaitan pekerjaan.

Peserta diberikan pendedahan kepada pengetahuan baru yang tidak hanya relevan untuk sektor industri tetapi juga untuk pelbagai bidang pekerjaan lain.

Selain itu, beliau juga memperkenalkan beberapa teknik dan amalan terbaik yang boleh diimplementasikan di tempat kerja bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Hal Ehwal Akademik, Azlina Yahaman meluahkan pandangan positif terhadap sesi tersebut yang dilihat amat menarik dan memberi impak yang besar.

“Ceramah ini bukan sahaja memberikan pengetahuan baru, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang pentingnya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Saya berharap sesi ini dapat diadakan dalam bentuk kursus yang lebih mendalam di masa hadapan. Dengan format kursus, staf universiti akan dapat memanfaatkan pengisian dengan lebih efektif melalui latihan praktikal dan interaksi yang lebih intensif,” katanya.

Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Pengalaman ini pasti akan menjadi panduan berharga dalam usaha meningkatkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di masa hadapan.

Program ini mencatatkan jumlah kehadiran yang memberangsangkan dari kalangan staf UUM yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan PTJ/PP dan anggota daripada Majlis Perbandaran Kubang Pasu.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button