Langkah Jiwa Merdeka UUM COLGIS rai semangat kebersamaan
SINTOK: Bagi meraikan sambutan Bulan Kebangsaan dan semangat kebersamaan, Pejabat Penolong Naib Canselor, UUM COLGIS menganjurkan aktiviti fizikal “Langkah Jiwa Merdeka”, baru-baru ini.
Program tersebut merupakan anjuran bersama Pusat Pengajian Undang-undang (SoL), Pusat Pengajian Kerajaan (SoG), Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), serta Pusat Alumni.
Ketua Penolong Pendaftar, Zul Rusydi Hussin yang mewakili Penolong Naib Canselor UUM COLGIS, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab menyatakan bahawa usaha ini adalah sejajar dengan saranan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan staf UUM.
“Aktiviti ini bukan sahaja dapat memupuk semangat kesukanan dalam kalangan staf tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan, lebih-lebih lagi dalam suasana kerja yang sibuk.
“Program ini juga bermatlamat menghidupkan semangat patriotik dalam kalangan warga universiti,” katanya.
Menurutnya, melalui Langkah Jiwa Merdeka, UUM COLGIS dapat menyatukan staf akademik dan pentadbiran dari semua pusat pengajian melalui aktiviti yang dapat meningkatkan semangat perpaduan dan kerjasama.
Di samping itu, katanya, dengan penglibatan rakan-rakan PTJ lain seperti Pusat Alumni juga dapat menambahkan kemeriahan aktiviti yang dijalankan.
Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan seramai lebih 70 staf yang terlibat turut mengadakan aktiviti plogging di sepanjang laluan ke Masjid Sultan Badlishah. – Abu Bakar Omar Hamdan