STHEM, MACEOS perkukuh jaringan kerjasama
SINTOK: Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) telah menerima kunjungan daripada Malaysian Association of Convention and Exhibition Organisers and Suppliers (MACEOS), baru-baru ini bagi membincangkan potensi kolaborasi yang dapat dilaksanakan di antara kedua-dua belah pihak.
MACEOS telah diwakili oleh Pengarah Eksekutif, Ezriq Sajad Ismail Sajad dan Timbalan Presiden Penyelidikan dan Inovasi, Yusno Yunos.
Kunjungan ini disambut mesra oleh Dekan STHEM, Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim yang turut mempengerusikan perbincangan tersebut.
“Lawatan seumpama ini membuktikan STHEM amat komited dalam menjalinkan hubungan kerjasama dengan pihak industri terutama dalam bidang Pengurusan Acara,” katanya.
Perbincangan ini turut dihadiri oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Dr. Norhanim Abdul Razak; Pengerusi Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara, Suryati Abd Shukor dan ahli Event Management Research Unit (EMRU), STHEM yang diketuai oleh Dr. Lina Munirah Kamarudin.
Perbincangan dua hala ini adalah inisiatif daripada Event Management Research Unit (EMRU), STHEM di mana Dr. Azizah Ismail bertindak sebagai pemudahcara di antara kedua-dua belah pihak.
Hasil perbincangan ini telah membawa kepada persetujuan untuk menandatangani Surat Hasrat (LOI) antara STHEM dan MACEOS. Pelbagai input yang bermanfaat telah diutarakan terutama mengenai potensi kerjasama dan pandangan holistik yang diberikan bagi memajukan Business Event (BE) di Malaysia.
Sebagai ahli akademik yang berdedikasi, EMRU komited untuk mempersiapkan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara agar memiliki daya saing yang tinggi dengan menimba pengalaman penganjuran acara yang sebenar serta mendapatkan pelbagai input bermanfaat dari pakar industri sebelum melangkah ke alam pekerjaan nyata. – Dr. Azizah Ismail