Pusat Asasi praktik amalan EKSA tingkat kualiti perkhidmatan
SINTOK: Pusat Asasi Pengurusan (PAP) telah mengadakan beberapa siri Program EKSA baru-baru ini iaitu Aktiviti Keselamatan, Keceriaan, Keseragaman dan Amalan Hijau EKSA.
Pengarah PAP, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman merangkap Ketua Zon 2 berkata, usaha pembudayaan dan pengekalan persekitaran berkualiti dan kondusif ini memerlukan semangat yang jitu dan iltizam yang tinggi dalam kalangan warga kerja Pusat Asasi Pengurusan untuk merealisasikan amalan EKSA ke tahap yang lebih cemerlang dari hari ke hari.
Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah Aktiviti Keselamatan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI) iaitu kerja-kerja mengecat kawasan larangan parkir di hadapan bangunan Pusat Asasi Pengurusan bagi memastikan laluan pejalan kaki pelajar selamat dan tiada sebarang halangan kenderaan.
Selain itu, PAP juga telah melaksanakan Aktiviti Keceriaan dan Keseragaman pejabat bagi memastikan persekitaran kerja yang kondusif kepada staf dan mewujudkan suasana yang selesa dan mesra kepada pelajar PAP. Aktiviti ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap kreativiti dan mengeratkan hubungan silaturahim antara staf sokongan bersama pihak pengurusan PAP.
Timbalan Pengerusi EKSA Zon 2, Nur Shazwani Shariffudin berkata, walaupun staf PAP terikat dengan tugasan harian yang padat, tetapi dengan sokongan dan penglibatan pihak pengurusan dalam aktiviti EKSA ini dapat menyuntik semangat dalam memastikan dasar dan objektif EKSA terlaksana.
Bagi meningkatkan kesedaran berkenaan Amalan Hijau dalam EKSA, pihak PAP juga telah menyediakan infografik serta peringatan secara berterusan kepada staf dan pelajar mengenai prinsip Asas Amalan Hijau iaitu Reduce, Reuse dan Recycle.
Jawatankuasa EKSA PAP juga telah melaksanakan Pertandingan ’Stay Close to Nature’ yang melibatkan semua staf PAP untuk menyediakan tanaman masing-masing dan memastikan tanaman tersebut terus subur bagi memenangi pertandingan tersebut. – Nur Diyana Othman