Tutor UUM sedia lanjut pengajian ke peringkat PhD
SINTOK: Lima tutor Universiti Utara Malaysia (UUM) sedia melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) mulai September depan di bawah tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB) serta tajaan luar.
Mereka terdiri daripada Muhammad Asyraf Wajdi Zakaria dari Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Hazwan Dani Abdul Kadir dan Nurul Atira Ariffin dari Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) dan Rabiaaton Adawiyah Safri dari Pusat Pengajian Undang-undang (SOL) serta Nur Syafiqah Abd Ghani dari Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM).
Bagi memperkenalkan calon PhD dengan lebih dekat, pertemuan bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani telah berlangsung di pejabat beliau.
Pertemuan ini bertujuan untuk memberi peluang keapda mereka berkongsi pengalaman, pendapat dan pandangan bersama Dr. Mohd Azizuddin.
Ketua Unit Pengajian Lanjutan (UPL), Roslina Abdullah berkata, inisiatif ini diambil untuk memastikan calon mendapat bimbingan dan sokongan yang sewajarnya sebelum mereka memulakan perjalanan akademik mereka.
Menurutnya, pertemuan itu juga diharapkan dapat memberikan motivasi dan inspirasi kepada calon-calon PhD tersebut agar mereka lebih bersedia dalam menghadapi cabaran di masa akan datang.
“Semoga semua tutor yang terpilih untuk sesi pengajian kali ini dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaik-baiknya dan menghabiskan pengajian PhD dalam tempoh yang ditetapkan, seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan akademik serta pembangunan negara.
“Kejayaan mereka bukan sahaja menjadi kebanggaan peribadi, tetapi juga membuktikan keupayaan dan potensi yang dimiliki oleh golongan akademik,” katanya. – Roslina Abdullah