Tingkat kesedaran dan sokongan terhadap individu OKU
SINTOK: Sesi perkongsian antara staf orang kurang upaya (OKU) dan staf yang mempunyai anak OKU diharap dapat meningkatkan kesedaran, empati dan sokongan dalam kalangan staf terhadap cabaran yang dihadapi oleh individu OKU serta ibu bapa yang menjaga anak-anak OKU.
Pihak pengurusan universiti yang turut serta dalam sesi ini menekankan komitmen mereka untuk terus menyediakan persekitaran kerja yang inklusif dan mesra keluarga, termasuk bagi staf OKU dan ibu bapa yang mempunyai anak OKU.
Ketua Unit Latihan, Jabatan Sumber Manusia (JSM), Kartini Tajul Urus berkata, sesi perkongsian kali ini adalah sebagai permulaan dan cadangan untuk mengadakan lebih banyak program seumpamanya di masa hadapan.
Beliau juga berharap kerjasama strategik di antara JSM dan Persatuan Staf UUM yang Mempunyai Anak Istimewa (PERISAI) diteruskan untuk program-program lain pada masa hadapan.
Peserta juga mencadangkan agar sesi kaunseling dan sokongan emosi dijadikan sebahagian daripada inisiatif jangka panjang untuk memastikan kesejahteraan semua staf, terutamanya mereka yang menghadapi cabaran khas.
Dengan kejayaan sesi perkongsian ini, diharapkan warga UUM akan mengambil langkah serupa untuk memperkukuh sokongan dan kesedaran dalam kalangan staf mereka mengenai isu-isu berkaitan OKU.
Program ini turut membuka ruang kepada peserta untuk berkongsi pandangan, bertanya soalan dan menawarkan sokongan moral antara satu sama lain. – Kartini Tajul Urus