Dr. Sabri Sinal kongsi pengalaman pengajian PhD
SINTOK: Timbalan Pengarah (Tugas-tugas Khas dan Piawaian) di Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Dr. Mohamad Sabri Sinal @ Zainal telah menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada kumpulan tutor seramai lima orang dan seorang pustakawan yang akan memulakan pengajian Doktor Falsafah (PhD) bermula September 2024.
Sesi ini berfungsi sebagai platform inspirasi bagi tutor untuk menghabiskan pengajian mereka dalam tempoh cuti belajar yang telah ditetapkan.
Dr. Mohamad Sabri berkongsi pelbagai kenangan pahit manis semasa beliau melalui perjalanan sebagai calon PhD di luar negara. Beliau menekankan betapa mencabar tetapi bermanfaatnya pengalaman tersebut yang akhirnya membuahkan kejayaan cemerlang apabila beliau bergraduat dalam tempoh yang ditetapkan (Graduate On Time, GOT).
Pengalaman beliau yang kaya dengan pelajaran hidup menjadi sumber motivasi kepada tutor untuk terus berusaha keras dan tidak mudah berputus asa.
Selain itu, Dr. Mohamad Sabri juga menitipkan pesan supaya tutor memanfaatkan peluang melanjutkan pelajaran sehingga peringkat PhD dengan sebaik-baiknya dan mengingatkan bahawa penajaan yang diterima adalah satu amanah yang sangat berharga dan perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab sebagai tanda terima kasih kepada penaja dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Ketua Unit Pengajian Lanjutan, Jabatan Sumber Manusia (JSM), Roslina Abdullah berkata, sesi seperti ini adalah penting dan relevan untuk menyuntik semangat kepada calon-calon PhD.
Menurutnya, sesi perkongsian ini bukan sahaja memberikan panduan dan inspirasi tetapi juga membantu calon-calon PhD memahami kepentingan disiplin dan dedikasi dalam mengharungi perjalanan akademik yang mencabar ini.
Semoga semua tutor yang terpilih berjaya mengharungi perjalanan PhD mereka dengan cemerlang dan membawa pulang kejayaan yang diharapkan. Diharapkan pengalaman dan ilmu yang mereka peroleh sepanjang pengajian ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada diri sendiri tetapi juga menyumbang kepada kemajuan institusi dan negara. – Roslina Abdullah