Jelajah Merdeka Sintok Bersama IBS dan IPIZ hidupkan semangat patriotik
SINTOK: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dengan kerjasama Institut Penyelidikan, Inovasi & Zakat (IPIZ) telah menyahut seruan untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67 dengan mengadakan acara Jelajah Merdeka Sintok 2024, baru-baru ini.
Aktiviti ini melibatkan seramai 20 staf akademik dan pentadbiran IBS dan IPIZ.
Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor berkata, aktiviti bermula seawal jam 8.30 pagi dengan sesi senaman ringan.
Menurutnya, acara Jelajah Merdeka ini melibatkan perjalanan mengelilingi sekitar kampus UUM, diiringi dengan nyanyian lagu kemerdekaan beramai-ramai.
“Jalur Gemilang yang sentiasa berkibar megah di sepanjang perjalanan menjadi simbol semangat patriotisme yang terus membara,” katanya.
Jelajah ini juga diselitkan dengan sesi perkongsian yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan IBS, Dr. Amirul Haqeem Abd Ghani mengenai kepentingan penghayatan sejarah negara.
Menurutnya, sejarah perjuangan kemerdekaan negara perlu dihayati oleh golongan muda dan penting bagi setiap masyarakat untuk mengambil tahu tentang sejarah kemerdekaan.
“Sentiasalah menyampaikan dan menceritakan tentang sejarah Tanah Melayu kepada generasi muda supaya sejarah tidak akan pernah dilupakan dan akan sentiasa diingati hingga ke generasi akan datang,” katanya.
Acara penutup diikuti dengan tayangan filem kepahlawanan dan ketenteraan di mana ia sedikit sebanyak memberi perspektif yang mendalam tentang keberanian tentera melawan musuh.
Semoga program seumpama ini dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan warga IBS dan IPIZ. – Siti Umairah Insyirah Nasrul Hakim