Bicara Bersama Bank Rakyat kupas isu perbankan dan kewangan
SINTOK: Unit Pengajian Islam dan Falsafah (UPIF), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) telah menganjurkan Program Bicara Bersama Bank Rakyat yang bertajuk ‘Scammer, Akaun Tumpang dan Isu Perbankan Masa Kini’.
Ceramah yang disampaikan oleh Ketua Unit Pembiayaan, Bank Rakyat Cawangan Jitra, Khidzrul Nizam Mohd Khidir itu telah disertai oleh 40 peserta terdiri warga UUM.
Penceramah telah mengupas pelbagai isu perbankan dan kewangan yang berlaku di Malaysia.
Menurutnya, terdapat beberapa kes yang melibatkan warga pensyarah dan pelajar IPT, oleh itu telah menjadi tanggungjawabnya untuk memberi kesedaran kepada warga UUM agar lebih cakna dan waspada dengan permasalahan yang berlaku.
Selain itu, penceramah juga telah mendedahkan kelicikan aktiviti ‘scammer’ yang sangat membimbangkan dan peserta juga telah diberi tips tentang bagaimana untuk menangani ‘scammer’, isu akaun tumpang dan pelbagai isu yang berkaitan dengan kewangan dan perbankan.
Sementara itu, Ketua Unit UPIF, Dr. Azman Md Zain berkata, melalui program ini diharap peserta dapat mengetahui tips atau kaedah sekiranya berhadapan dengan ‘scammer’ seterusnya dapat mengelak daripada terjebak, akaun tumpang dan sebagainya.
Penganjur berhasrat untuk mengadakan lagi program seperti ini pada masa akan datang yang lebih berskala besar melibatkan seluruh warga staf dan pelajar UUM. – Dr. Rukhaiyah Abd Wahab