UUMKL terima 138 pelajar baharu
KUALA LUMPUR: UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) menerima kemasukan seramai 138 pelajar baharu bagi semester September (DC241) yang akan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.
Sesi taklimat pendaftaran telah diadakan semalam yang melibatkan semua pelajar tersebut termasuk pelajar antarabangsa daripada Uzbekistan, Indonesia, China dan Bangladesh.
Pelajar dari Uzbekistan, Abduganiev Firdavsbek Khabibullo Ugli berkata, beliau amat gembira kerana diterima masuk ke program Sarjana (Perniagaan Antarabangsa) di kampus ini secara sepenuh masa dan ini merupakan pengalaman pertama beliau di Malaysia.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas bantuan pihak universiti dalam menguruskan visa pelajar tanpa sebarang masalah.
Antara program lain yang ditawarkan adalah Sarjana Pengurusan Sumber Manusia, Sarjana Sains (Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan), Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam, Sarjana Sains (Teknologi Maklumat), Sarjana Pengurusan Awam, Sarjana Undang-undang, Sarjana Sains (Perniagaan Antarabangsa), Sarjana Sains Kaunseling dan Sarjana Sains (Analisis Data).
Sementara itu Ketua Kampus, Prof. Dr. Norlena Hasnan berkata, UUMKL sentiasa terbuka menerima cadangan penambahbaikan dan akan sentiasa bersedia memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelajar.
Menurutnya, universiti ini juga melihat kepentingan untuk mengadakan sesi pertemuan dan penerangan bersama pelajar sebelum bermula semester bagi memastikan setiap pelajar bersedia dan tidak menghadapi sebarang masalah dalam pengajian.
Beliau juga berkesempatan berkongsi beberapa tips positif yang dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk memulakan pengajian.
Turut diadakan sesi taklimat akademik dan kewangan, selain pelajar didedahkan dengan tatacara mengakses portal pelajar, prosedur pendaftaran kursus dan penggunaan khidmat perpustakaan. – Nur Afiqah Abu Bakar