Campus

SLCP rai Bulan Kebangsaan 2024 dengan larian 15km secara maya

SINTOK: Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (sSLCP) telah mengadakan program larian bersempena sambutan Bulan Kebangsaan 2024 yang bermula pada 19 hingga 31 Ogos 2024.

Program yang dianjurkan bersama Jawatankuasa Kerohanian dan Rekreasi dan Kelab Barakah SLCP telah berjaya menarik penyertaan seramai 66 peserta yang terdiri daripada kalangan staf SLCP dan ahli keluarga.

Pengarah program, Dr. Khairul Faiz Alimi berkata, tujuan program SLCP Merdeka Virtual Run diadakan adalah untuk menyemarakkan aktiviti kesukanan dalam kalangan staf SLCP dan pada masa yang sama menghidupkan semangat patriotik bersempena sambutan Bulan Kebangsaan 2024.

Menurutnya, program di bawah indeks penunjuk prestasi number of wellness programmes (T5D2L10) ini juga merupakan inisiatif atau tindakan balas terhadap laporan daripada SME Asia yang menyatakan bahawa pekerja di Malaysia paling tidak bahagia dan menduduki carta paling tidak bahagia ke dua di Asia Tenggara. Justeru, program sebegini dapat mengalihkan tahap tekanan staf SLCP dengan melakukan aktiviti sukan.

Sementara itu, Pengarah bersama program, Dr. Ahmad Fuad Mat Hassan menyatakan bahawa program larian secara virtual atau maya telah menyemarakkan semangat kemerdekaan di samping meningkatkan kualiti kesihatan diri dan psikologi dalam kalangan peserta.

“Sepanjang tempoh larian yang ditetapkan bermula 19 Ogos 2024 sehingga 31 Ogos 2024, kesemua peserta berjaya menyempurnakan larian mereka dengan jarak sebanyak 15 kilometer (km) dan jarak larian direkodkan dengan menggunakan aplikasi Strava.

“Penganjuran larian secara maya menawarkan larian secara fleksibel dari segi masa dan tempat larian mengikut keselesaan peserta,” katanya.

Peserta larian, Nasrol Hadi Ahmad Shukeri menyatakan rasa terima kasih atas penganjuran larian secara maya dan mengharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Seorang lagi peserta, Mohd Farid Md Yusoff menambah bahawa program ini dapat mengeratkan hubungan antara staf SLCP kerana walaupun diadakan secara maya, beliau menyempurnakan larian sebanyak 15km secara berkumpulan yang rata-ratanya adalah rakan sepejabat.

Program ini juga menawarkan hadiah kepada 10 pemenang yang berjaya menamatkan larian 15km paling awal dan semua peserta diberikan baju larian dan sijil penyertaan.

Penyampaian hadiah disempurnakan kepada pemenang oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerohanian dan Rekreasi SLCP, Prof. Madya Dr. Mohd Nizho Abdul Rahman. – Siti Nadia Rusli 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button