Bedah Akademik mantapkan kemahiran jawab soalan peperiksaan
SINTOK: Inisiatif Bedah Akademik Siri 2 anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah berlangsung di Makmal Komputer 1 Perpustakaan Sultanah Bahiyah dan juga secara maya melalui platform Webex, baru-baru ini.
Inisiatif ini merupakan usaha yang telah memberikan kesan positif kepada pelajar IBS yang mengambil subjek berkod 3000 untuk terus memantapkan lagi pemahaman dan kemahiran mereka dalam menjawab soalan peperiksaan akhir.
Bedah Akademik telah dikendalikan oleh pelajar-pelajar cemerlang IBS yang diketuai oleh Muhammad Lukman Hakim Fairul Nizam selaku MPP IBS dan juga pengarah program tersebut.
Subjek yang dibedah dalam inisiatif ini ialah BIFS3043 Corporate Finance From Islamic Perspective, BPMN3143 Research Methodology, BIFS3023 Islamic Accounting, BIFS3073 Retirement, Zakat and Tax Planning dan juga BIFS3063 Estate and Waqf Planning.
Lukman Hakim berkata, inisiatif tersebut mendapat sambutan yang meriah dalam kalangan pelajar IBS kerana dikongsi juga tips dan mengkaji soalan-soalan peperiksaan pada tahun terdahulu yang sangat bermanfaat dan berguna sebagai persediaan dan latihan menjawab peperiksaan.
Menariknya, subjek yang mendapat sambutan tertinggi ialah Research Methodology di mana penyertaan sesi itu sebanyak lebih daripada 200 pelajar yang datang daripada pelbagai Pusat Pengajian.
“Ilmu itu perlu dilengkapkan dengan kefahaman agar ia menjadi manfaat umpama tanah yang menghasilkan pokok dan buah apabila dikenakan hujan, memberi manfaat kepada haiwan yang singgah kepadanya.
“Semoga semua usaha tenaga pengajar Bedah Akademik yang telah berkongsi ilmu pengetahuan mereka akan dimanfaatkan dan dapat membantu pelajar dalam menjawab peperiksaan akhir semester A232,” katanya. – Aidid Nor Akbar (MPP IBS)