Gotong-royong EKSA SOL pastikan suasana kerja kondusif
SINTOK: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL) telah mengadakan satu program gotong-royong di bawah inisiatif Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) yang melibatkan penyertaan staf pentadbiran dan akademik bertujuan meningkatkan kebersihan, keselesaan, serta produktiviti persekitaran kerja di pusat pengajian.
Program dimulakan dengan mesyuarat awal pagi bagi membincangkan tugasan yang akan dilaksanakan serta pembahagian kawasan tanggungjawab kepada setiap kumpulan.
Setiap kumpulan ditetapkan kawasan tertentu yang dikenal pasti, termasuk dalam dan luar pejabat, bilik kuliah, bilik latihan perundangan (law chambers), bilik mesyuarat dan mahkamah mut (moot court) untuk memastikan semua bahagian di pusat pengajian dalam keadaan bersih, kemas dan tersusun.
Ketua Penolong Pendaftar SOL, Zul Rusydi Hussin dalam taklimatnya menyatakan penghargaan kepada semua yang terlibat dan menekankan pentingnya budaya kerja yang sihat dan persekitaran yang bersih bagi memastikan suasana kerja yang positif dan produktif.
Sepanjang aktiviti gotong-royong, peserta saling membersihkan kawasan, menyusun atur peralatan, di samping menghias kawasan kerja supaya lebih kemas dan teratur.
Aktiviti ini secara tidak langsung memberi ruang kepada semua staf yang terlibat untuk bekerjasama dan mengukuhkan hubungan kerja, di samping menanamkan kesedaran akan kepentingan persekitaran kerja yang bersih dan kondusif.
Program ini diakhiri dengan ucapan penghargaan daripada pihak pengurusan pusat pengajian kepada semua peserta yang terlibat, dan penegasan tentang pentingnya semangat bekerjasama dalam memastikan keberkesanan program EKSA serta produktiviti kerja. – Shaidah Shaari