Campus

Naib Canselor menyantuni pensyarah

SINTOK – Menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) adalah permulaan bagi kerjaya sebagai seorang pensyarah yang juga pendidik kepada bakal graduan dan generasi hadapan negara.

Untuk itu, Jabatan Sumber Manusia Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Majlis Naib Canselor Bersama Pensyarah Sesi 1/2024 yang berlangsung di Dewan Seminar Pusat Islam.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, dengan visi universiti menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka, UUM mendidik pemimpin berperwatakan holistik untuk berbakti kepada komuniti global.

“Tunjang utama untuk memacu universiti ke hadapan dengan menjadikan UUM sebagai pemacu pendidikan pengurusan, pusat rujukan pengurusan dan pemangkin wilayah utara.

“Justeru sebagai pendidik kepada bakal graduan dan generasi hadapan negara, dedikasi dan proaktif amat membantu mencapai matlamat yang ditetapkan selain menyumbang kepada pembangunan universiti dan masyarakat,” ujarnya.

Jelasnya, pensyarah juga memerlukan kerjasama pasukan atau bimbingan pensyarah yang berpengalaman serta sokongan pihak pentadbiran di samping sedia menghadapi cabaran, berinovasi dan komited melaksanakan tugas.

Pada masa sama mereka mempunyai tanggungjawab dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) demi memperkasakan tugas yang digalas serta pengembangan kerjaya.

Prestasi diukur dari pelbagai aspek seperti pemantapan pengajaran, penulisan jurnal,   penyeliaan, penyelidikan, perundingan dan pengkomersialan, sumbangan kepada universiti dan lain-lain tugasan pada peringkat universiti, industri serta masyarakat.

Beliau turut berkongsi perkembangan UUM yang mencapai pelbagai kejayaan dan pencapaian di peringkat dalam dan luar negara termasuk program yang mendapat akreditasi seperti AMBA, IQA, AACSB, dan EPAS.

“Dari aspek pengantarabangsaan, lima negara berdasarkan bilangan pelajar tertinggi iaitu China, Indonesia, Nigeria, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu. Kita turut mempunyai jalinan kerjasama melibatkan negara Perancis, Jepun, Uzbekistan, Thailand dan Indonesia,” katanya.

Selain itu, beliau menyentuh aspek pembangunan kerjaya, penyelidikan, penerbitan dan integriti yang perlu dijaga sebagai seorang pensyarah yang berdedikasi.

Pertemuan itu membabitkan kira-kira 110 staf akademik yang berkhidmat selama enam tahun dan ke bawah termasuk pensyarah yang baru melapor diri.

Hadir sama, Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah yang turut menyertai sesi soal jawab yang diadakan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button