UUM berjaya peroleh pensijilan SAGA
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya memperoleh pensijilan Standard Accounting System For Government Agencies (SAGA) selepas menerima kedatangan pasukan Jawatankuasa Pematuhan dan Sekretariat SAGA dari Jabatan Akauntan Negara, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan serta Kementerian Pengajian Tinggi untuk Lawatan Penilaian Jawatankuasa Pematuhan SAGA bagi Sistem Perakaunan dan Kewangan UUM.
Lawatan penilaian ini turut melibatkan pasukan dari Jabatan Bendahari, UUMIT dan e-Management, Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI), UUM.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pensijilan SAGA ini penting bagi UUM dalam memastikan kebolehpercayaan sistem kewangan UUM iaitu FIMS dalam mengendalikan operasi kewangan dan selari dengan keperluan pematuhan yang ditetapkan kepada semua agensi awam.
Menurutnya, UUM telah menerima tiga kali lawatan sekreteriat pada 13 Julai 2023, 11 Oktober 2023 dan 10 Julai lalu di mana laporan permerhatian berkaitan dengan penemuan semasa lawatan telah dikeluarkan dan telah diambil tindakan sewajarnya oleh UUM.
Katanya, sekretariat SAGA Bahagian Khidmat Perunding, Jabatan Akauntan Negara telah mencadangkan lawatan penilaian oleh Jawatankuasa Pematuhan SAGA selepas lawatan kali ketiga baru-baru ini.
“Di UUM, sistem FIMS telah digunakan sepenuhnya bermula 1 Januari 2022 dan akaun 2022 telah disediakan menggunakan sistem FIMS di mana telah mendapat sijil audit bersih pada 18 Ogos 2023, manakala akaun 2023 masih dalam proses pengauditan di mana sesi ‘exit conference’ bersama Jabatan Audit Negara akan diadakan pada 18 September nanti.
“Saya amat berharap dengan sesi lawatan penilaian Jawatankuasa Pematuhan SAGA ini, UUM dapat memenuhi semua kriteria yang ditetapkan dan memperoleh pensijilan SAGA dengan jayanya kerana perjalanan mendapatkan pensijilan SAGA bukan sesuatu yang mudah. Pelbagai cabaran telah dilalui selama usaha hampir tujuh tahun ini,” katanya di Bilik Senat, Khamis lalu.
Naib Canselor berharap dengan sesi lawatan penilaian Jawatankuasa Pematuhan SAGA ini, UUM dapat memenuhi semua kriteria yang ditetapkan dan memperoleh pensijilan SAGA dengan jayanya.
Panel penilai yang diketuai oleh Pengerusi Panel, Anishah Abd Wahid yang merupakan Timbalan Pengarah, Bahagian Khidmat Perunding, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) telah bersetuju untuk memperaku bahawa Sistem Kewangan UUM iaitu FIMS telah memenuhi semua 20 kriteria fungsian dan teknikal, malah berjaya memperoleh pensijilan SAGA.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat, Kementerian Kewangan, Murni Rahayu Ahmad Anuar dan wakil Seksyen Perundingan & Perakaunan Pengurusan, KPT, Sharifah Ismail.