Campus

Audit Pematuhan Akreditasi Penuh pastikan kualiti program BPLB

Gambar Abu Bakar Omar Hamdan

SINTOK: Lawatan bagi tujuan Audit Penilaian Pematuhan Akreditasi Penuh Program Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan dengan Kepujian (BPLB (Hons) telah dilaksanakan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bertempat di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Pusat Pengajian Undang-undang (SOL), baru-baru ini.

Dekan Pusat Pengajian Undang-undang, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, lawatan audit yang dijalankan terhadap program yang bersifat hibrid ini melibatkan tiga disiplin ilmu iaitu Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan Lawatan telah dikelola oleh Bahagian Swaakreditasi, Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA).

Menurutnya, pelaksanaan audit pematuhan ini merupakan proses biasa dalam menilai semula mana-mana program khususnya program BPLB yang telah mendapat akreditasi penuh dan telah membuat semakan kurikulum. Tujuan utamanya adalah untuk menilai dan menjamin kualiti program akademik di samping memenuhi Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF). 

Seramai tiga ahli panel penilai dari kalangan pakar akademik hadir semasa lawatan audit ini iaitu Pengerusi Panel Penilai, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dari Taylor’s University; Prof. Dr. Ahmad Sunawari Long dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Prof. Dr. Mohd Mizan Mohammad Aslam dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Semasa lawatan audit, panel penilai menjalankan semakan dan penilaian ke atas dokumen berkaitan dengan program, di samping melawat premis dan fasiliti yang digunakan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran seperti bilik kuliah, makmal, termasuk Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Panel penilai juga mengadakan sesi temu bual bersama pihak pengurusan, staf akademik dan pentadbiran serta pelajar dan alumni bagi mendapatkan maklum balas mengenai pelaksanaan program ini. Semua aspek penilaian yang dijalankan ini adalah bagi memastikan pengajaran, pembelajaran, dan aktiviti berkaitan program akademik yang ditawarkan oleh Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Dengan pelaksanaan audit ini, SOL berharap agar Program BPLB terus mengekalkan kecemerlangan dalam memastikan pendidikan yang berkualiti dan relevan dengan keperluan industri.

SOL merakamkan penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pensyarah dan staf yang terlibat dalam menjayakan sesi audit penilaian kali ini yang bukan sahaja melibatkan Pusat Pengajian Undang-undang, tetapi termasuklah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Pusat Pengajian Kuantitatif (SQS), Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Pusat Pengajian Perakauan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) dan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML).

Turut hadir semasa lawatan audit ini ialah Pengarah Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi, Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Jedin; Timbalan Pengarah Bahagian Swaakreditasi PPQA, Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud; Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah; Pengerusi Program BPLB, Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman serta penjawat dan pensyarah SOL. – Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button