Ahli Mesyuarat Majlis Dekan dan Ketua Jabatan Perakaunan UA terpukau keindahan UUM
SINTOK: Sempena ulang tahun ke-40 Universiti Utara Malaysia (UUM), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) telah dipilih untuk menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Dekan dan Ketua Jabatan Perakaunan Universiti Awam Malaysia, baru-baru ini.
Mesyuarat yang berlangsung di Hotel Raia, Alor Setar dan di Bilik Senat UUM itu dihadiri 30 ahli mesyuarat dan ia bersesuaian dengan sambutan 40 tahun UUM dan juga Tahun Melawat UUM 2024.
Bermula dengan sambutan di Anjung Tamu, delegasi telah diberikan taklimat berkaitan dengan kampus UUM yang hijau dan permai ini. Kebanyakan delegasi amat teruja dengan alam semula jadi UUM yang masih elok terjaga dan senario pembangunan kampus memberikan satu panorama yang cukup indah dan tenang terutamanya kebanyakan daripada delegasi ini merupakan IPTA yang berada di Lembah Klang.
Mereka juga amat berbesar hati dengan dengan sambutan dan perancangan yang dibuat oleh pihak TISSA UUM sepanjang mesyuarat ini. Delegasi juga dibawa melawat Galeri UUM sebelum bermesyuarat di Bilik Senat.
Mesyuarat yang berlangsung selama dua hari mulai 8 September itu turut disertakan dengan lawatan ke Hatyai, di samping memberikan peluang kepada delegasi untuk melihat panorama sekitar UUM sebelum bertolak pulang ke institusi masing-masing bagi memberikan nostalgia kepada semua delegasi berkaitan dengan hospitaliti UUM sepanjang berada di kampus.
Pengerusi Mesyuarat Majlis Dekan dan Ketua Jabatan Perakaunan Universiti Awam Malaysia, Prof. Dr. Haslinda Yusoff mengucapkan terima kasih kepada Dekan TISSA UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad atas semua persediaan dan komitmen yang diberikan untuk merealisasikan mesyuarat di UUM serta sambutan yang amat baik kepada delegasi mesyuarat.
Mesyuarat akan datang dicadangkan untuk diadakan di Terengganu. – Abdul Razak Abdul Wahab