Campus

EKSA 2 dalam 1 terap budaya EKSA di tempat kerja

SINTOK: Majlis Anugerah EKSA Peringkat Jabatan Canselori telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Canselori bagi menghargai staf dalam mempraktik prinsip EKSA.

Pengarah Canselori, Mohd Zulkifli Mohd Noor berkata, majlis ini tujuan untuk memberi penghargaan kepada warga jabatan atas inisiatif mereka dalam mempraktikkan prinsip EKSA yang berteraskan kebersihan, kecekapan, inovasi, dan persekitaran kerja yang kondusif.

Beliau turut menekankan kepentingan penerapan budaya EKSA sebagai satu langkah strategik dalam memastikan perkhidmatan awam kekal relevan, cekap, dan berdaya saing.

“Semoga amalan pembudayaan EKSA di Jabatan Canselori dan di pusat tanggungjawab UUM yang lain dapat dilaksanakan secara berterusan dan bukan hanya berfokuskan kepada penilaian serta kemenangan semata-mata,” katanya.

Seterusnya, sesi perkongsian bertajuk “Penerapan EKSA: Amalan Terbaik di Tempat Kerja” yang disampaikan oleh Pengurus Bahagian Pusat Pengurusan Kualiti & Akreditasi (PPQA) iaitu Dr. Nur Syazwani Mohd Nawi.

Sesi ini disertai hampir 100 warga UUM secara dalam talian Webex telah mendedahkan strategi inovasi dalam mengoptimumkan ruang kerja, pengurusan rekod secara sistematik dan pendekatan kreatif dalam memastikan persekitaran pejabat sentiasa kondusif dan produktif.

Beliau juga telah melontarkan idea tentang perlunya mengintegrasikan teknologi hijau dan digitalisasi ke dalam amalan EKSA bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan kerja.

Sesi ini diakhiri dengan slot soal jawab yang memberi peluang kepada peserta untuk merungkai persoalan mereka. Banyak input dan cadangan bernas yang dikemukakan diyakini dapat membantu setiap jabatan memperkukuhkan lagi amalan EKSA di tempat kerja masing-masing.

Majlis Anugerah EKSA diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada penerima bagi 14 kategori pengiktirafan oleh Mohd Zulkifli dengan diiringi oleh Pengarah Bahagian Perancangan Prestasi & Korporat (BPPK), Prof. Madya Dr. Mazni Omar.

BPPK telah dinobatkan sebagai pemenang Zon Terbaik Keseluruhan bagi Anugerah Unit EKSAlence, diikuti dengan Bahagian Pengurusan Risiko (RMD) di tempat kedua, dan Unit Pentadbiran dan Kewangan Canselori di tempat ketiga. 

Diharapkan majlis seperti ini dapat menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan seterusnya mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif, inovatif, dan efisien. – Nur Fathin Abdul Rahman 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button