Bank Rakyat sumbang RM50,250 untuk UNIpreneur 4.0
ARAU: Bank Rakyat telah memperuntukkan sebanyak RM50,250 kepada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam kategori asnaf untuk memulakan perniagaan mereka melalui Program UNIpreneur 4.0.
Bank Rakyat UNIpreneur adalah kerjasama Bank Rakyat dan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan untuk membantu usahawan siswa asnaf dari universiti yang terpilih meliputi suntikan dana sebanyak RM3,000 kepada peserta program dan pembangunan modul program oleh universiti yang terbabit.
Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) mewakili UUM untuk mencari pelajar dan seramai 15 pelajar telah dikenal pasti dan berjaya mengikuti program tersebut yang berlangsung selama 6 bulan mulai Julai hingga Disember 2024.
Pengarah PPKS, Khairul Anuar Adnan berkata, dalam program ini peserta akan diberi bimbingan dengan diajar pelbagai ilmu dan latihan keusahawanan yang akan dilaksanakan oleh PPKS secara berkala.
Bank Rakyat melalui pihak Pengurusan Cawangan Arau baru-baru ini telah menyerahkan cek cura sejumlah RM50,250 Khairul Anuar.
Pada majlis tersebut turut berlangsung sesi menandatangani dan melaksanakan akad cek cura tersebut telah disampaikan oleh Pengurus Cawangan Bank Rakyat, Arau, Nor Aslinda Abdul Rani.
Seramai 15 pelajar kategori asnaf terpilih akan mendapat dana permulaan perniagaan sebanyak RM3,000, di samping latihan keusahawanan yang akan dilaksanakan oleh PPKS secara berkala.
Turut hadir, Penyelaras Keusahawanan Siswa, Syahrina Abdullah. – Siti Aishah Adanan