Kemeriahan STEM Camp@Sintok 2024
SINTOK – Program STEM Camp@Sintok 2024 siri kedua baru baru ini menarik perhatian 160 peserta daripada 27 sekolah rendah membabitkan enam daerah di Kedah berlangsung penuh meriah.
Mereka terdiri daripada pelajar dari daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu, Baling, Padang Terap dan Pendang.
Pengarah Projek, Abd Hadi Abd Razak berkata, penerapan praktis STEM yang santai, kreatif dan imaginatif dapat menjadi pencetus semangat kepada peserta untuk menerokai bidang penciptaan, kreativiti dan inovasi dalam STEM yang lebih berimpak tinggi.
Jelasnya, program yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma, Sekolah Kebangsaan Kuala Lanjut dan My STEM Ambassador berjaya menamatkan misi.
“Semoga pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh dapat memupuk semangat STEM dalam kalangan peserta dan menjadi katalis untuk mereka meneruskan cita-cita ke menara gading dalam usaha meneruskan kelangsungan kemenjadian modal insan yang terbaik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Digital Production and Servise (DProS) SMMTC, Prof. Madya Ts. Sobihatun Nur Abdul Salam berkata, pengisian aktiviti yang diterapkan dalam kem ini juga dapat memberi impak positif kepada peserta dalam meningkatkan kemahiran interpersonal, semangat berpasukan, pengurusan diri dan masa.
Manakala, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma, Zuraimi Mansor selaku penganjur bersama berkata maklum balas dari peserta, guru dan para waris sangat positif dan mereka berpuas hati dengan program yang dijalankan.
“Memandangkan kami menerima pelbagai reaksi positif, kami berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar lebih ramai lagi pelajar mendapat manfaat daripada program ini.
“Selain itu, program ini memperkukuhkan hubungan sinergi rakan strategik antara sekolah dan Institusi Pendidikan Tinggi,” katanya.