Adopt-A-Stop pupuk semangat kesukarelawanan dan kekitaan antara warga universiti
SINTOK: Pasukan Program Sijil Kesukarelawanan UUM (SUKA-UUM) telah melancarkan projek ‘Adopt – A – Stop’, semalam.
Inisiatif yang diselia oleh Pensyarah SAPSP, Dr. Nurhazlina Mohd Ariffin itu dikendalikan oleh Akmal Ahlami Md Rozai, Azam Arni Mohd Noor, Mohd Zaslan Zulkhairi, Dr. Asfarina Abdul Razak.
Kerja pembersihan dan mengindahkan hentian bas dilakukan sekitar jam 9 pagi dengan kerjasama daripada Sukarelawan UUM (SUKA UUM), Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta Inapan Siswa (INASIS) UUM.
Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Unit Pembangunan Bakat, Jabatan Sumber Manusia (JSM), Kartini Tajul Urus di pekarangan Dewan Kuliah Gugusan 2 (DKG 2).
Akmal Ahlami berkata, Program ‘Adopt – A – Stop’ bertujuan untuk mengindahkan dan menaik taraf hentian bas mesra pelajar di UUM. Projek yang bersifat berterusan (continuous) ini dapat memupuk semangat cintakan kampus dalam kalangan warga kampus sekaligus memberi manfaat kepada semua pihak khususnya para pelajar yang merupakan pengguna fasiliti tersebut.
Menurutnya, melalui sistem angkat, pihak Pusat Tanggungjawab (PTJ), Pusat Pengajian, Persatuan, Kelab yang dianggotai oleh staf mahupun pelajar boleh menggunakan platform tersebut untuk menjalankan program yang dapat menyumbang kepada pembangunan Pelan Strategik UUM bagi indikator prestasi ‘University Social Responsibility (USR)’ di samping memupuk semangat kesukarelawanan dan rasa tanggungjawab untuk memeliharanya.
“Imej Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai universiti pengurusan yang terkemuka di negara ini hendaklah dipelihara bermulanya dengan keadaan infrastruktur awam untuk kegunaan semua.
“Antara aspek penting yang menyumbang kepada keselesaan warga kampus adalah keadaan infrastruktur awam seperti hentian bas yang selesa dan mesra pengguna. Namun, terdapat hentian bas yang dalam keadaan yang kurang memuaskan lalu boleh membahayakan penggunanya,” katanya.
Beliau berkata, fasiliti yang usang dan tidak ceria akan menimbulkan imej yang negatif terhadap warga kampus serta pelawat yang mengunjung atas urusan rasmi mahupun tidak rasmi.
Katanya, dengan adanya projek ini, harapan agar semua warga kampus memberi kerjasama agar memelihara hentian bas demi keselesaan dan keselamatan semua.
Projek tersebut mendapat sumbangan daripada Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Zambri Mat selaku Pengarah Urusan Bintong Express &Holidays Sdn Bhd.- Tunku Yusriza Eliyana Tunku Nazrin