Campus

SLCP terima kedatangan pelajar SMK Alang Iskandar, Perak

SINTOK: Unit Pengajian Islam dan Falsafah (UPIF), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) telah menerima kunjungan 36 pelajar dan empat guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alang Iskandar, Perak.

Ketua Unit UPIF, Dr. Azman Md Zain berkata, rombongan pelajar telah dibawa melawat ke beberapa tempat menarik di UUM termasuk Anjung Tamu, Muzium Pengurusan dan Perpustakaan Sultanah Bahiyah pada sesi pagi bagi membolehkan pelajar berpeluang mengenali UUM sebagai salah satu universiti yang terkemuka di Malaysia.

Pada sesi petang pula, rombongan pelajar berpeluang mengikuti ceramah motivasi yang disampaikan oleh Dekan SLCP, Prof. Dr. Shukri Ahmad.

Ceramah ini bertujuan memberikan semangat kepada pelajar untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai cita-cita mereka. Antara nasihat adalah agar pelajar bersikap positif dalam mendepani cabaran kehidupan.

Setiap pelajar perlu berfikir, merenung dan mengambil iktibar dari sifat lebah iaitu memberi manfaat kepada persekitarannya, malah madu lebah juga adalah penawar bagi pelbagai penyakit manusia.

Pelajar turut disajikan dengan sesi perkongsian bersama dua anggota Majlis Perwakilan Pelajar UUM, Muhammad Lukman Hakim Fairul Nizam dan Sofia Natasyah Saparin.

Kedua-dua wakil MPP itu berkongsi rahsia kejayaan mereka di UUM malah menasihati pelajar supaya cemerlang dalam akademik dan kegiatan ko-kurikulum agar lebih mudah untuk mendapat peluang pekerjaan setelah tamat belajar di universiti, di samping bijak menguruskan masa supaya tidak ketinggalan dalam pembelajaran di universiti.

Melalui program ini, para pelajar diharap mendapat pendedahan awal tentang pembelajaran di IPT dan cabarannya. – Dr. Suhanim Abdullah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button