UUM terima 4,195 pelajar baharu
SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kemasukan 4,195 pelajar baharu terdiri pelajar tempatan dan antarabangsa yang akan mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda bagi sesi 2024/2025.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, daripada jumlah itu, 4,061 orang adalah pelajar tempatan yang merupakan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), manakala 134 lagi adalah pelajar antarabangsa.
“Pada kemasukan kali ini, UUM menerima 2,977 pelajar perempuan dan 1,218 adalah pelajar lelaki.
“Manakala bagi tawaran program pengajian pula, program Sarjana Muda Perakaunan menerima kemasukan terbesar iaitu seramai 315 pelajar, diikuti Sarjana Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (236), Sarjana Muda Sains Ekonomi (231) dan Sarjana Muda Kewangan Dengan Kepujian (171),” katanya pada sidang media yang berlangsung di Galeri UUM.
Program Sarjana Muda Perakaunan masih mengekalkan CGPA masuk 4.00 bagi lepasan STPM/Matrikulasi.
Seperti tahun sebelum ini, UUM turut menawarkan tempat kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) dari pelbagai kategori seramai 13 orang, pelajar orang asli dan atlet.
Keseluruhan, sehingga 1 Oktober 2024, jumlah pelajar UUM adalah seramai 30,149 orang iaitu 24,671 bagi peringkat pengajian sarjana muda dan 5,478 bagi pascasiswazah.
Sementara itu, Salina a/p Awang teruja dapat melanjutkan pelajaran dan mahu menjadi contoh teladan yang baik kepada kawan-kawannya yang berada di Pekan, Pahang.
“Saya sangat bersyukur dengan kejayaan ini kerana tidak ramai anak Orang Asli yang masuk universiti boleh dikira dengan jari, mungkin saya orang kelima dalam kampung,” ujarnya.
Justeru, Salina mahu melihat lebih ramai Orang Asli berpeluang mengikuti pengajian tinggi di universiti dan berjaya sebagai profesional satu hari nanti sekali gus mencorak masa depan yang lebih cerah.
Pesanan ayah tersemat di sanubarinya agar sentiasa menjaga diri, berdikari dan belajar bersungguh-sungguh dalam mengejar cita-cita sebagai seorang guru.
“Apa yang lebih penting saya mahu fokus pada pelajaran dan memanfaatkan semua peluang yang ada demi membayar jasa ibu ayah dengan kecemerlangan,” ujarnya.