Naib Canselor tekankan empat ciri graduan mudah dapat pekerjaan
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK: Dalam tempoh empat tahun, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) diminta untuk meningkatkan diri sendiri sama ada secara formal atau tidak formal agar mudah mendapat pekerjaan.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pelajar perlu merancang secara strategik dan sistematik untuk kejayaan pengajian sepanjang tempoh berada di bumi Sintok ini.
Menurutnya, ciri pertama ialah kemahiran yang relevan dengan keperluan pekerjaan masa hadapan di mana majikan mengutamakan calon yang mempunyai kemahiran yang sepadan dengan keperluan pekerjaan, terutamanya dalam bidang permintaan tinggi seperti teknologi dan pengurusan.
Ciri kedua, prestasi akademik yang tinggi berkait rapat dengan tawaran pekerjaan yang lebih baik beserta gaji yang lebih tinggi. Pelajar perlu memastikan mendapat CGPA 3.50 dan ke atas.
Ciri ketiga, pengalaman praktikal melalui latihan amali atau projek industri amat bernilai kerana ia boleh membangun kompetensi dan kesediaan graduan untuk masuk dalam dunia bekerja.
Ciri keempat, kebolehsuaian dan kemahiran insaniah di mana majikan menghargai graduan yang menunjukkan kemahiran berkomunikasi yang baik, boleh bekerja secara berpasukan, kefleksibelan dan pemikiran kritikal dalam menyelesaikan masalah.
“Saya pasti pelajar semua telah berusaha sebaik mungkin untuk sampai ke tahap ini, namun usaha ini perlu diteruskan, jadikanlah kedamaian dan kehijauan bumi Sintok sebagai gedung ilmu untuk melengkapkan jihad di menara gading.
“Bermulanya memegang gelaran mahasiswa, sebenarnya anda baru sahaja menggalas amanah dan tanggungjawab yang amat besar di mana anda menjadi harapan ibu bapa dan keluarga, universiti dan bangsa. Maka, besarlah harapan saya agar anda mula menanam cita dan tekad bagi menjadi aset paling bernilai kepada diri sendiri, keluarga, universiti, bangsa dan negara,” katanya di Bicara Santai Bersama Naib Canselor sempena Minggu Suai Kenal (MSK) Semester Pertama Sesi 2024/2025 di Dewan Mu’adzam Shah, petang ini.
Dr. Mohd Foad berkata, peratus kebolehpasaran graduan (GE) pelajar yang mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian pada tahun lalu mencatat 95 peratus iaitu angka tertinggi dicapai UUM sehingga kini.
Menurutnya, UUM menetapkan enam peratus graduan akan mendapat gaji premium iaitu gaji permulaan mencecah RM4,000 sebulan bagaimanapun, untuk graduan konvokesyen tahun lalu, UUM berjaya mencapai 9.2 peratus, melebihi 3.2 peratus dari sasaran awal.
Beliau turut menekankan tujuh Nilai Bersama UUM iaitu kecemerlangan, saling menghormati dan penerimaan, komunikasi, kesyukuran, pembelajaran berterusan, integriti dan muhasabah diri.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Pegawai-pegawai Kanan Universiti serta Ketua-ketua Jabatan dan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Syahril Ahmad Sofian.