Kemiskinan tidak halang pelajar untuk berjaya
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK: “Kemiskinan tidak akan menjadi halangan kepada pelajar untuk berjaya jika ada usaha,” kata Penasihat Khas Kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie di Majlis Ikrar Pelajar Baharu di Dewan Mu’adzam Shah, petang semalam.
Menurutnya, kejayaan akan datang dan tidak akan gagal selagi berusaha kerana kemiskinan tidak menolak pelajar daripada mencapai kejayaan.
Beliau turut mengimbau kisah perjalanan Menteri Pendidikan Tinggi apabila kemiskinan tidak menghalangnya untuk mengubah nasib diri dan keluarga.
Ahmad Shalimin melafazkan rasa syukur kerana pelajar berjaya ke menara gading dan ini adalah fasa selama empat tahun pelajar akan menggenggam segulung ijazah.
“Dalam 4,000 pelajar, saya percaya dari pelbagai latar belakang dan golongan masyarakat, ada yang M40, B40 dan T20 tetapi lebih penting ialah semangat untuk meneruskan pelajaran ke menara gading dan berbakti kepada keluarga dan negara.
“Hanya dengan pendidikan sahaja dapat menukar kehidupan kita, justeru UUM akan terus terpahat dan pelajar akan menjadi sebahagian 160,000 alumni yang dihasilkan UUM dalam tempoh 40 tahun ini,” katanya.
Beliau turut memberi contoh pelajar berasal dari Melaka di mana jika hendak 1000 daya, tidak mahu 1000 dalih di mana abang kepada pelajar berkenaan sanggup menunggang motosikal dari Melaka demi melihat kejayaan ahli keluarganya.
Sehubungan tu, beliau memohon semua pelajar apabila berada di menara gading, perlu menghayati kerajaan Madani melalui enam teras yang dinyatakan Perdana Menteri iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat dan keyakinan serta ihsan.
“Saya seru marilah bersama-sama memberi satu perjuangan kepada universiti untuk menggemilangkan universiti dan hari ini bermula fasa baru di UUM dan akan mencapai banyak pengalaman pahit manis, seterusnya akan memberi semula jasa bakti kepada negara dan keluarga.
“Jadi, mintalah restu ibu bapa adalah paling utama, diikuti restu daripada guru, pensyarah dan kawan-kawan untuk berjaya,” katanya.
Terdahulu, majlis bacaan ikrar dilafazkan oleh pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Logistik dan Pengangkutan, Ramadhani Erfan Zakaria dan watikah diserahkan kepada Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah.
Hadir sama, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan pegawai-pegawai kanan universiti dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MMP).