BSD pantau harga barangan dalam kampus sebelum kuliah bermula
SINTOK: Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) telah menjalankan aktiviti pemantauan terhadap harga barangan di premis-premis perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.
Aktiviti pemantauan dan semakan harga barangan ini telah diketuai oleh Pengarah BSD, Dr. Afiruddin Tapa dan turut disertai oleh pihak Pusat Penginapan Pelajar (SAC), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Jabatan Keselamatan.
Dr. Afiruddin berkata, tujuan pemantauan dan semakan harga barangan ini dilakukan adalah bagi memastikan peniaga khususnya pengusaha kedai runcit, kedai serbaneka dan pasaraya dalam kampus menawarkan harga barangan yang berpatutan kepada para pelanggan.
Menurutnya, pemantauan dan semakan harga barangan ini dilakukan bertujuan memastikan peniaga mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak UUM.
“Peniaga perlulah bersikap jujur dan bertanggungjawab dalam memastikan setiap barangan yang dijual mempunyai tanda harga, harga barangan yang dijual adalah berpatutan dan bersesuaian dengan kumpulan pelanggan yang terdiri daripada para pelajar dan staf UUM, tiada barangan tamat tempoh (expired) yang dijual, barangan disusun dengan kemas dan teratur, para peniaga mematuhi waktu operasi perniagaan yang ditetapkan dan barangan makanan dan minuman yang dijual perlulah halal dan mendapat pensijilan daripada pihak JAKIM.
“Saya ingin mengingatkan peniaga yang menjual barangan elektrik dan elektronik agar memastikan semua barangan tersebut telah mendapat pensijilan dan penarafan SIRIM atau Suruhanjaya Tenaga sebelum semua barangan elektrik dan elektronik ini dijual kepada pelanggan,” katanya.
Aktiviti lawatan ini turut memantau penggunaan beg plastik dan penyedut minuman plastik di mana peniaga yang masih menggunakan kedua-dua bahan ini telah diberikan nasihat dan peringatan.
Antara premis-premis perniagaan yang telah dilawati adalah seperti Kedai Serbaneka CU, Pasaraya VMart Ceria, Kedai Runcit VXpress, Kedai Roti Double Pane, Kedai Ice Cream Mixue, gerai-gerai makanan dan minuman di Medan Selera Varsity Mall dan sebagainya.
Melalui aktiviti pemantauan yang dilakukan, terdapat beberapa peniaga yang telah diberikan nasihat dan teguran hasil daripada pemantauan yang dijalankan.
Turut hadir dalam sesi lawatan ini adalah Pengurus B3P BSD, pegawai daripada SAC HEP dan pegawai serta staf BSD dan Jabatan Keselamatan UUM. – Mohd Khairi Ja`afar