Campus

Lawatan Khazanah dan GKK Consultants ke UUM teroka ruang kerjasama

SINTOK: Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed telah menerima kunjungan daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan GKK Consultants Sdn. Bhd. (GKK) di Bilik Mesyuarat Jabatan Canselori, baru-baru ini.

Kunjungan itu secara tidak langsung telah membuka ruang penerokaan kerjasama di antara Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Khazanah dan GKK.

Pertemuan itu melibatkan beberapa pegawai daripada Khazanah dan GKK serta Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan, UUM, Dr. Fikriyah Abdullah dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Pusat Pengajian Pengkomputeran, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Fadli.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak membincangkan program yang mampu membantu meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan UUM melalui K-Youth Development Programme yang merupakan inisiatif kebolehpasaran graduan oleh Khazanah dengan kerjasama GKK yang dapat membantu graduan dengan kemahiran dan pengalaman yang berguna secara komersial untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Program K-Youth ini telah menawarkan empat program pensijilan iaitu Certified Cloud Practitioner, Certified Cyber Security, Full Stack & Securecode Programming dan Big Data Analytics yang sangat bermanfaat kepada pelajar khususnya pelajar tahun akhir sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan yang dapat menjadi nilai tambah dalam resume mereka nanti.

Selain itu, Khazanah juga turut menawarkan University Outreach Programme yang terbahagi kepada Track A (pelajar Tahun 1 dan Tahun 2) dan Track B (pelajar Tahun 3 dan Tahun 4). Objektif program ini adalah untuk mewujudkan kesedaran tentang kepentingan latihan industri kepada pelajar serta dapat tips dan trick sebelum memasuki dunia pekerjaan.

Dr. Ahmad Martadha tertarik dengan program yang ditawarkan oleh kedua-dua pihak dan berharap agar program ini dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar UUM khususnya pelajar B40 kerana program ini adalah secara percuma.

Sebelum bergerak pulang, Khazanah dan GKK dibawa melawat ke Anjung Tamu UUM serta diberikan taklimat oleh Jabatan Komunikasi Korporat, Mohd Fadzli Suhaimi. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button