CEDI jalinkan kerjasama strategik dengan ANGKASA
SINTOK – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mengadakan kunjungan hormat ke Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai langkah untuk mengukuhkan kerjasama antara kedua pihak.
Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan peluang kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, dan pembangunan koperasi di Malaysia.
Dalam kunjungan tersebut, delegasi dari ANGKASA bertemu dengan pihak pengurusan UUM, termasuk Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor serta Ketua Pusat Tanggungjawab . Perbincangan meliputi program yang boleh dijalankan bersama, seminar, dan inisiatif lain yang dapat menyokong perkembangan koperasi di kalangan mahasiswa dan masyarakat.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya. Turut hadir mewakili UUM, Prof. Dr. Russayani Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).
CEDI berhasrat untuk menjadi pemangkin dalam usaha untuk meneruskan semula kesinambungan hubungan kerjasama strategik antara UUM dengan pihak Angkatan Koperasi Malaysia (ANGKASA).
Kunjungan tersebut telah menyaksikan sesi sumbang saran bagi menjalankan projek penyelidikan, pelaksanaan program serta sesi penyerahan Surat Hasrat (LoI) oleh UUM kepada ANGKASA yang bakal menjadi permulaan bagi jaringan kerjasama yang lebih berimpak tinggi iaitu MoA antara kedua-dua pihak.
Antara aspek kerjasama yang akan difokuskan dalam kerjasama tersebut adalah pembangunan koperasi menerusi latihan berstruktur. Koperasi sememangnya memerlukan tenaga penyumbang yang mampu bergerak dan memajukan lagi koperasi. Oleh itu, pekerja yang berkemahiran dan terlatih adalah tunggak dan pencetus kejayaan kepada sesebuah koperasi.
Dalam konteks ini, pihak CEDI mampu menyediakan program latihan dan pembangunan kepada pihak koperasi dalam negara khususnya bagi yang berpengkalan di zon utara tanah air iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Tambahan juga, CEDI bersedia untuk membantu pihak ANGKASA dalam konteks penyelidikan dan kajian kes bagi isu-isu yang dihadapi.
Selain itu, kerjasama stretgik ini juga dapat membuka ruang bagi mengaktifkan semula Koperasi Usahawan Siswa UUM (KoSiswa) yang mana ia merupakan satu platform di mana siswazah UUM dapat memulakan perniagaan secara berkumpulan dan sekaligus menjana ekonomi usahawan siswa. Usaha untuk menubuhkan koperasi siswazah ini telah dimulakan pada tahun 2008 oleh CEDI UUM.