UUM pastikan lawatan audit SIRIM QAS berjalan sempurna
SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) mengharapkan Lawatan Audit SIRIM QAS Audit Pemantauan MS ISO 9001:2015 berjalan lancar dengan kerjasama diberikan oleh warga universiti.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pihak UUM akan memberikan kerjasama penuh agar audit berjalan dengan baik dan lancar.
Menurutnya, audit kali ke-27 ini bertujuan memastikan UUM melaksanakan pengurusan audit kualiti berterusan dalam skop pensijilan sedia ada.
Katanya, di peringkat UUM, pemantauan oleh SIRIM akan memastikan prinsip, keakuran dan pematuhan itu ada agar UUM sentiasa mengikut skop pensijilan yang ditetapkan SIRIM.
“UUM secara umumnya telah melaksanakan sistem pengurusan berkualiti secara berterusan dan merangkumi tiga perkara iaitu reka bentuk dan pembangunan program pendidikan, peruntukan perkhidmatan pendidikan dan pengurusan penyelidikan, penerbitan, perkhidmatan perpustakaan dan lain-lain khidmat sokongan.
“Dengan adanya audit pematuhan ini, saya berharap UUM akan terus berkembang seiring dengan perubahan ISO. Tahun ini merupakan tahun ke-27 dan pastinya UUM akan mengemas kini serta pertingkatkan proses kerja dan keakuran kepada semua perkara terlibat dalam memperkasakan pembudayakan kualiti dalam kalangan pegawai dan staf,” katanya di Mesyuarat Pembukaan Audit SIRIM QAS di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, semalam.
Sementara itu, Ketua Auditor SIRIM, Hanida Ghazali berterima kasih kepada UUM atas kesudian menerima audit pemantauan buat kali kedua pada tahun ini.
Menurutnya, tahun depan pihaknya akan menjalankan audit pensijilan semula sebelum tamat pada Disember 2025.
Katanya, beliau berharap audit ini akan memberi manfaat kepada UUM. Kali ini bagi ISO 9001, terdapat penambahbaikan iaitu penambahan elemen perubahan iklim (climate change).
Sepanjang tiga hari bermula semalam sehingga 9 Oktober, seramai tiga auditor dipertanggungjawabkan untuk melakukan audit di beberapa pusat pengajian dan pusat tanggungjawab.