Campus

UUM meterai MoU dengan ICM dalam bidang undang-undang

SINTOK –  Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Inns of Court Malaysia (ICM) menandatangani memorandum persefahaman dalam bidang undang-undang sekali gus mengukuhkan kolaborasi strategik antara kedua-dua belah pihak.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, dengan termeterainya Majlis Menandatangani MoU antara UUM dan ICM, sudah pasti akan membuahkan hasil kerjasama yang lebih erat antara UUM dn ICM.

“Pelbagai aktiviti khususnya perkongsian tenaga pakar dalam bidang undang-undang boleh menjadi nilai tambah kepada pelajar dan juga pihak SOL bagi memperkasa agenda kemahiran undang-undang.

“Kerjasama dua hala ini penting bagi membolehkan standard profesion undang-undang dapat dipertingkatkan melalui pemupukan kecemerlangan dalam profesionalisme, etika dan integriti yang menjadi agenda ICM,” ucapnya pada program anjuran Pusat Pengajian Undang-undang, UUM.

Dr Foad berkata, menurut Pengarah di Center of the Legal Profession, Harvard Law School, Prof. David Wilkins, berdasarkan laporan IMF, 40% pekerjaan di dunia akan terkesan dengan teknologi kecerdasan buatan termasuklah bidang perundangan.

“Justeru, sesi Syarahan Undang-undang ini telah menghasilkan impak kepada peningkatan pengetahuan hadirin khususnya berkaitan isu etika dan undang-undang dalam pembangunan kecerdasan buatan.

“Kajian yang dibuat oleh Robert Walters, Malaysia pada tahun 2023 menunjukkan trend peningkatan laluan kerjaya sebagai ‘in house lawyer’ dapat merapatkan jurang pendapatan dalam sektor swasta.

“Secara tidak langsung, pengisian program hari ini mampu membuka minda para mahasiswa khususnya bakal graduan undang-undang dalam memilih kerjaya bidang perundangan apabila tamat pengajian kelak,” ujarnya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan ICM, di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen, pagi tadi.

Katanya, UUM sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti akademik selari dengan kehendak semasa pihak industri. Program pengajian yang ditawarkan oleh UUM tidak terkecuali bagi memastikan agar ilmu yang diperolehi di dewan kuliah mampu diterjemahkan dan sesuai dengan kehendak semasa dunia pekerjaan.

“Memahami akan keperluan penglibatan industri dalam dunia akademik, UUM secara aktif telah meletakkan aspek penglibatan industri sebagai antara Indeks Prestasi Utama, KPI UUM untuk dicapai dalam Pelan Strategik Universiti.

“Kerjasama rapat dan erat dengan pihak industri akan berupaya memastikan universiti melalui program akademiknya mampu menyediakan tenaga kerja dan kepakaran selari dengan kehendak industri. Bahkan lebih daripada itu, ianya mampu menjadi pencetus kepada perkembangan industri khususnya dalam bidang perundangan.

“Dalam lanskap perundangan di Malaysia, UUM melihat ICM yang merupakan sebuah Badan Keahlian Profesional dan mempunyai keahlian yang terdiri daripada para hakim, peguam, tokoh undang-undang, dan cendekiawan undang-undang  yang amat sesuai untuk UUM menjalin kerjasama strategik dalam usaha memberikan nilai tambah kepada program pengajian undang-undang,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Inns of Court Malaysia, Tun Arifin Zakaria berpandangan profesion sebagai peguam wajar menjadi pilihan mahasiswa memandangkan kerjaya ini sangat menarik dan fleksibel.

“Kerjaya ini mempunyai peluang yang cerah dan berpotensi besar untuk dikembangkan kerana perkhidmatan ini turut ditawarkan di pelbagai agensi, industri mahupun syarikat konglomerat.

“Buat mahasiswa belajarlah dengan tekun, berusaha gigih, berdaya saing, berani melontarkan pandangan dan bersedia untuk melangkah ke dunia guaman,” katanya.

Terdahulu, beliau turut berkongsi pengalaman, kemahiran dan buah fikiran yang sangat bermakna pada Syarahan Undang-undang: ‘Ethical and Legal Issues in Artificial Intelligence (AI) Development’.

Selain itu, turut berlangsung Forum Undang-Undang: ‘Emerging Trends in Corporate Governance: The Evolving Role of In-House Counsel’ menampilkan ahli Panel seperti Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dato’ Aliza Sulaiman, Hakim Mahkamah Tinggi Kangar, Dr. Arik Sanusi Yeop Johari, Profesor, Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan, dan Hakim Mahkamah Tinggi Malaya merangkap Naib Presiden 2, ICM , Datuk Seri Mohd Firuz Jaffri serta dengan moderator, Ahli Majlis Perwakilan Pelajar, UUM Nur Nazirah Hisham

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button