Jom Pakat Kitar Semula: Kumpul, Timbang, Jana dan Belanja
Gambar Pusat Alumni UUM
SINTOK: Program kutipan barangan kitar semula yang dianjurkan oleh Zon Bougainvillea dengan kerjasama E-Idaman Sdn. Bhd. telah mencapai kejayaan dengan pengumpulan sebanyak 419.80 kilogram (kg) barangan kitar semula melebihi jumlah sasaran awal iaitu 100 kg.
Program ini mengangkat konsep “Kumpul, Timbang, Jana, dan Belanja” yang melibatkan warga Universiti Utara Malaysia (UUM) secara aktif.
Program ini bermula dengan pengumpulan barangan kitar semula daripada warga UUM termasuk plastik, kertas, logam dan minyak masak terpakai. Setelah pengumpulan dilakukan, barangan tersebut ditimbang untuk mencatat jumlah sebenar yang dikumpulkan.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat E-Idaman Sdn. Bhd., Mohd Firdaus Mohd Isa berkata, kegiatan ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kitar semula, tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat untuk menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.
Dalam usaha untuk meneruskan momentum ini, Zon Bougainvillea dan E-Idaman merancang untuk mengadakan lebih banyak program kitar semula pada masa akan datang, termasuk bengkel dan kempen kesedaran.
Ketua Zon Bougainvillea, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar yang juga Pengarah Pusat Alumni berkata, beliau berharap inisiatif ini akan menjadi contoh kepada Zon EKSA lain dan menjadi inpirasi kepada warga UUM untuk terus mengamalkan kitar semula dalam kehidupan seharian mereka.
Menurutnya, pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keberkesanan program tersebut, tetapi juga menandakan langkah positif ke arah universiti yang lebih hijau dan lestari.
“Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, tetapi juga membentuk masyarakat yang lebih peka dan bertanggungjawab,” katanya. – Amelia Hakimi