SOG dan PERDA komited mantapkan kemahiran komunikasi pelajar
SINTOK: Kursus Pengucapan Awam Belia: Pemimpin Suara Komuniti telah berlangsung dengan jayanya pada 11-13 Oktober, 2024 bertempat di Kem PLKN, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Penganjuran majlis ini adalah merupakan hasil kerjasama strategik di antara Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).
Program anjuran SOG ini telah berjaya menarik minat pihak PERDA untuk menaja penyertaan kursus bagi 40 pelajar UUM (anak kelahiran negeri Pulau Pinang) dan Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang.
Dekan SOG, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid berkata, penganjuran program ini bertujuan untuk mempersiapkan pelajar dengan menguasai kemahiran komunikasi yang baik agar dapat berdaya saing dalam melangkah ke alam kerjaya dengan penuh berkeyakinan tinggi.
Menurutnya, penglibatan pelajar dalam program ini telah berjaya memberikan satu pengalaman bermakna buat mereka kerana kandungan modul pengucapan awam yang disediakan sangat komprehensif serta mencakupi kesemua aspek kemahiran komunikasi berkesan yang diperlukan oleh seorang pelajar.
“Malahan, kepelbagian aktiviti menarik yang terdapat dalam program ini turut mendedahkan mereka dengan aplikasi pelbagai kemahiran lain seperti kemahiran perundingan, bekerja dalam satu pasukan, keyakinan diri dan pemikiran kreatif di dalam penyediaan pengucapan awam,” katanya.
Seramai empat penceramah terlibat sepanjang kursus selama tiga hari ini berlangsung yang dilantik oleh pihak PERDA iaitu Dekan SOG, Dr. Mohamad Sukeri; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SOG, Sr. Dr. Farahiyah Fadzil; Pensyarah Kanan SOG, Dr. Rosfaraliza Azura Ramli dan Pensyarah Kanan SOE, Dr. Nor Asikhin Ishak.
Keempat-empat penceramah masing-masing bertanggungjawab untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan kepakaran melalui sembilan slot yang telah dirangka daripada Modul Pengucapan Awam yang mereka sediakan.
Di antara perkongsian yang disampaikan memfokuskan kepada kepentingan kemahiran komunikasi efektif, memahami dinamik penonton, persediaan ucapan, mendepani ketakutan pentas, seni pujukan dan impak (Ethos, Pathos dan Logos) serta kaedah penyampaian melalui modulasi suara, bahasa tubuh dan kontak mata. Pelbagai aktiviti menarik turut dilaksanakan bagi mengukuhkan kefahaman mahasiswa terhadap kandungan modul tersebut.
Kursus ini turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.
Majoriti pelajar yang menyertai program ini berharap mereka agar berpeluang untuk menyertai lagi program-program berbentuk pemantapan kemahiran diri pada masa akan datang dan turut menzahirkan rasa penghargaan dan berterima kasih kepada pihak PERDA yang sudi untuk menaja penyertaan mereka dan kepada pihak SOG yang telah menganjurkan sebuah program yang sangat bagus dan bermanfaat dalam memantapkan kemahiran insaniah pelajar.
Penganjuran program ini diharapkan mampu menyuntik semangat dan motivasi dalam memperhebatkan lagi usaha pemantapan diri sebagai salah seorang graduan pilihan majikan kelak.
SOG akan terus komited dalam memastikan mahasiswa sentiasa bersedia mendepani cabaran dunia kerjaya melalui penganjuran program-program yang memfokuskan kepada pemantapan kemahiran diri pelajar ke arah melahirkan pemimpin organisasi yang berkarisma. – Dr. Farahiyah Fadzil