Pupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar baharu
SINTOK, 23 Oktober – Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan satu sesi taklimat dalam Slot Usahawan Siswa untuk pelajar baharu.
Acara yang diadakan sempena Minggu Suai Kenal (MSK) ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan pelajar kepada fungsi, program, dan pencapaian institut tersebut dalam memupuk semangat keusahawanan dan koperasi dalam kalangan mahasiswa.
Timbalan Pengarah (Bahagian Latihan dan Inkubator Pelajar) CEDI, Fadzil Mohd Husin menekankan kepentingan keusahawanan dalam agenda pembangunan pelajar di UUM.
“CEDI berperanan sebagai platform bagi pelajar untuk mengembangkan kemahiran keusahawanan melalui pelbagai program latihan dan bengkel,” ujarnya, baru-baru ini.
Beliau turut memperkenalkan para pelajar baharu kepada produk, perkhidmatan serta geran perniagaan ‘start-up’ yang ditawarkan oleh CEDI.
Dalam sesi tersebut juga, Pengarah CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan CEDI berkata, inisiatif ini akan memberi inspirasi kepada pelajar baharu untuk meneroka potensi mereka dalam dunia keusahawanan.
jelasnya, dengan komitmen untuk melahirkan generasi usahawan yang berdaya saing, CEDI UUM terus berperanan sebagai penggerak utama dalam membangunkan budaya keusahawanan di kalangan mahasiswa.
Beliau menerangkan pencapaian signifikan, termasuk kejayaan pelajar dalam pertandingan inovasi dan keusahawanan, serta kolaborasi dengan industri bagi memperkukuh jaringan dan peluang kerjaya.
Beliau turut mengumumkan pelancaran program inkubator kek dan pastri anjuran bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan UUM yang bertujuan untuk membantu pelajar yang ingin memulakan perniagaan.
Pelajar baharu diberikan peluang untuk bertanya soalan dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti CEDI. Antara maklum balas positif yang diterima, ramai pelajar menunjukkan minat untuk menyertai program-program yang ditawarkan.
Sesi ini diakhiri dengan aktiviti jaringan di mana pelajar dapat berinteraksi dengan kakitangan CEDI serta mendapat input mengenai alumni yang telah berjaya dalam bidang keusahawanan.