Orang asli terima tawaran biasiswa
SINTOK, 28 Oktober – “Saya berniat hendak berhenti belajar kerana tidak mahu membebankan keluarga menanggung yuran pengajian, kami keluarga yang susah,” kata Nur Natasha Zaidi, 20, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Perakaunan), yang berketurunan Orang Asli.
Nur Natasha berkata, dia bukan orang senang, adik beradik ramai, ayah bekerja sebagai pemandu lori dan ibu merupakan seorang suri rumah.
“Saya gembira apabila ditawarkan biasiswa ini, semangat belajar dan ingin mengejar cita-cita sebagai pendidik makin berkobar-kobar,” katanya yang berjaya menerima tawaran biasiswa Grab – Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR).
Nur Natasha menerima biasiswa yang menanggung yuran pengajian sepanjang tempoh pengajian termasuk sara hidup, buku, tesis, seminar, penampilan diri, dan komputer riba.
Gadis pintar ini berjaya memperoleh 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Bentara Luar, Batu Pahat, Johor sebelum meneruskan pengajian di Kolej Matrikulasi Johor dalam bidang perakaunan, turut meraih keputusan cemerlang dengan memperoleh PNGK 4.00.
“Sejujurnya, saya sangat bersyukur dan gembira apabila ditawarkan biasiswa ini sekali gus bersemangat meneruskan pengajian sehingga ke penghujungnya,” katanya.
Menurutnya, biasiswa yang ditawarkan sememangnya sangat membantunya yang sebelum ini bergantung penuh dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Biasiswa ini sangat memberi manfaat kepada pelajar universiti yang menghadapi kekangan dari segi kewangan untuk menapak di alam universiti.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang, biasiswa ini bukan sahaja membantu pelajar tetapi meringankan beban ibu bapa,” katanya.
Mengulas lanjut pengalaman manis, dia meletakkan UUM sebagai universiti pilihan pertama untuk melanjutkan pengajian.
“Pada mulanya, saya rasa saya takkan dapat tempat di UUM kerana saya sedang bekerja sebagai guru taska ketika mendapat panggilan sesi temuduga yang dijalankan di UUMKL.
“Jadi saya datang dalam keadaan tidak bersedia dan apabila keputusan keluar, itulah hari yang paling bahagia dalam hidup saya kerana memang tak sangka ada rezeki di UUM dalam bidang yang benar-benar saya suka,” katanya.
Menurutnya, UUM telah membentuk dirinya menjadi seorang yang berdikari, berani mengambil risiko, berdisiplin terutamanya dari segi pengurusan masa.
“Kini, penyusunan jadual saya lebih kemas dan efektif serta memudahkan pergerakan dari segi menguruskan kelab, hadir ke kuliah dan menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.
“UUM juga membentuk diri emosi dan rohani di mana saya perlu sentiasa kuat dan semangat untuk menjalani kehidupan yang penuh cabaran seterusnya mengubah nasib keluarga,” katanya.
Prinsip yang menjadi pegangan dalam hidupnya ialah menjaga hubungan dengan sesiapapun, tidak kira orang berpangkat, baik orang lebih muda atau tua dan yang paling utama hubungan dengan tuhan.
“Dengan menjaga hubungan ini, kita akan rasa perjalanan hidup kita dipermudahkan dan sentiasa berjumpa dengan orang yang baik. Merekalah yang akan sentiasa mendoakan kesejahteraan kita dan membantu jika kita di kala susah,” ujarnya yang memegang jawatan sebagai bendahari Kelab Patriot Chapter Johor.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Pendidikan (SoE), Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman amat berbesar hati dengan pencapaian yang membanggakan ini dan mengucapkan tahniah kepada pelajar semester tiga kerana berjaya menerima tawaran biasiswa ini.
“Tahniah diucapkan kepada Nur Natasha dari seluruh warga Pusat Pengajian Pendidikan (SoE) didoakan semoga Nur Natasha terus berjaya dengan cemerlang dunia dan akhirat,” ujarnya.