Campus

Pusat Asasi Pengurusan teroka peluang kerjasama dengan CEDI

SINTOK, 29 Oktober 2024 – Pusat Asasi Pengurusan (PAP), Universiti Utara Malaysia (UUM) sedang giat meneroka peluang kerjasama strategik dengan Pusat Tanggungjawab (PTJ) khususnya dengan pihak Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) dalam usaha memantapkan pendidikan dan latihan keusahawanan di kalangan pelajar asasi.

Langkah ini direalisasikan menerusi program keusahawanan yang bakal dianjurkan oleh EXCO Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan UUM, dengan sokongan penuh dari kedua-dua pengurusan PAP dan CEDI. Program yang direncana bertujuan untuk memperkenalkan dan mengasah kemahiran keusahawanan di kalangan pelajar asasi, sekaligus memupuk semangat perniagaan sejak di peringkat awal pengajian.

Wakil PAP,  Norfarahiyah Mohammad Najib, menyatakan bahawa kerjasama dengan CEDI ini merupakan satu usaha penting dalam menyediakan pelajar asasi dengan pendedahan awal kepada dunia perniagaan dan keusahawanan.

“Melalui program seperti ini, pelajar bukan sahaja dapat memahami asas-asas pengurusan perniagaan, tetapi juga berpeluang untuk meneroka idea-idea inovatif dan kreatif dalam perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan, menegaskan bahawa pihaknya komited untuk memberikan sokongan kepada pelajar dalam menjayakan inisiatif keusahawanan ini. Beliau percaya, gabungan usaha antara PAP dan CEDI akan memperkasa generasi muda dengan kemahiran yang relevan dalam bidang keusahawanan dan koperasi, sejajar dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan yang berkebolehan dalam pelbagai sektor ekonomi.

Antara program yang dirancang merangkumi bengkel, ceramah motivasi keusahawanan, dan sesi bimbingan perniagaan yang dikendalikan oleh pakar industri dan usahawan berjaya. Pelajar berpeluang untuk belajar secara langsung daripada tokoh-tokoh yang berpengalaman, sekaligus membuka jalan untuk mereka menceburkan diri dalam bidang keusahawanan selepas tamat pengajian.

Kerjasama antara PAP dan CEDI ini diharapkan akan menjadi platform berterusan dalam membentuk usahawan muda yang berdaya saing dan berinovasi, sejajar dengan misi mendidik pemimpin berperwatakan holistik untuk berbakti kepada komuniti global.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button